malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pasangan suami isteri, pelajar antara ditahan edar ganja
ADS

Dua pasangan suami isteri dan seorang pelajar universiti tempatan, antara enam yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah, yang dianggarkan bernilai RM467,900.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Kajang dan Pulau Pinang, dalam lima serbuan dari 11 hingga 14 Feb lepas.

Katanya, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan dalam serbuan pertama pada 11 Feb lepas, kira-kira 6 petang di Bandar Baru Bangi dan polis menemui dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 526 gram, dalam kereta jenis Perodua Axia yang dipandu suspek.

"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Ramal, Kajang pada hari yang sama (11 Feb) kira-kira 6.30 petang dan menahan seorang wanita berusia 30 tahun, serta menemui 15 ketulan mampat daun kering disyaki ganja dianggarkan 15.6 kilogram (kg) yang bernilai RM39,000, dalam bilik rumah berkenaan.

"Kedua-dua suspek merupakan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai ejen insurans," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Kajang, hari ini.

Beliau berkata, polis kembali menyerbu rumah sama di Sungai Ramal, Kajang pada 13 Feb lepas dan menahan seorang lelaki berusia 24 tahun, yang menaiki kereta jenis Honda Accord.

Hasil pemeriksaan kenderaan suspek yang juga merupakan pelajar universiti tempatan, menemui 45 ketulan mampat daun kering, disyaki ganja seberat 44.4 kg bernilai RM111,000.

Azam berkata hasil soal siasat, pihaknya menjalankan serbuan di dua rumah di Jalan Ayer Itam dan Georgetown, Pulau Pinang pada 14 Feb lepas, dan menahan pasangan suami isteri dan bapa mentua mereka, kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

Pasangan suami isteri berusia berusia 34 dan 32 tahun serta lelaki berusia 57 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi, ditahan bersama dadah disyaki ganja dengan masing-masing memiliki dadah dipercayai ganjya seberat 23 kg ganja bernilai RM57,500 dan 20.1 kg bernilai RM50,250.

"Kami percaya sindiket ini aktif sejak lima tahun lalu, dan mendapatkan bekalan dari negara jiran.

"Sindiket ini dipercayai menjadikan Pulau Pinang sebagai transit, sebelum dibawa ke sekitar Lembah Klang untuk diedarkan," katanya.

Noor Azam berkata hasil soal siasat, pihaknya menjalankan serbuan di sebuah rumah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 14 Feb lepas dan merampas 83.5 kg dadah bernilai RM208,800 serta sepucuk pistol bersama 13 peluru hidup.

Jelasnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah 187.1 kilogram dan boleh dibekalkan kepada 37,420 penagih ganja dalam masa sehari, dengan mengambil kira penggunaan sebanyak lima gram sehari.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pelajar dan pemandu teksi yang ditahan positif ujian air kencing dan seorang daripada mereka mempunyai empat rekod kesalahan lampau, membabitkan kes dadah.

Noor Azam berkata, kesemua suspek ditahan reman 10 hari sehingga 21 Feb ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api (1960).

- Bernama

Lihat Komen