malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Covid 19: Penggiat industri harap cukai pelancongan diturunkan
ADS

Penggiat industri pelancongan tempatan berharap kerajaan dapat menurunkan cukai pelancongan kepada jumlah yang munasabah dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Feb ini.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Noor Zari Hamat berkata hasrat itu adalah sebagai usaha mengimbangi semula kerugian yang dialami sektor itu kesan daripada penularan Covid-19.

“Sebelum ini kami pernah berjumpa dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan telah membawa hasrat yang ingin disampaikan oleh penggiat dalam industri pelancongan ini dan kami telah kemukakan untuk mereka ambil perhatian.

“Kita sama-sama tunggu...dan saya yakin kerajaan prihatin dengan apa yang dialami oleh pihak terlibat,” katanya pada sidang media pelancaran logo Livery VM2020 dan pakej Firefly The Best of Discovery, di Skypark RAC Subang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan penggiat industri pelancongan dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb.

Noor Zari berkata antara perkara lain yang dicadangkan adalah penyediaan latihan menghadapi krisis kepada mereka yang terlibat serta menyediakan peruntukan daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HDRF) untuk tujuan latihan yang sama.

Sementara itu, Noor Zari berkata dengan pelbagai promosi pakej pelancongan daripada syarikat penerbangan, kementerian menjangkakan peningkatan pelancong sekitar 20 peratus bagi perjalanan dari Subang dan Pulau Pinang ke Langkawi bagi tempoh Februari hingga Jun ini.

“Dari Februari hingga Jun tahun lepas sebanyak 4,000 pelancong menggunakan laluan dari Subang ke Langkawi manakala sebanyak 6,700 pelancong menggunakan laluan dari Pulau Pinang ke Langkawi.

“Dengan pelbagai pakej yang ditawarkan syarikat penerbangan termasuk Firefly hari ini, kita mengharapkan 20 peratus pelancong akan menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Selain merancakkan pelancongan domestik, pihaknya kini menggiatkan usaha menarik kehadiran pelancong dari beberapa negara Asean dan mengenal pasti pasaran baharu di Timur Tengah dan India.

- Bernama

Lihat Komen