malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘Ahli perniagaan ugut bongkar peranan Najib, Rosmah'
ADS

KES ROSMAH l Perselisihan faham antara Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah menyaksikan timbulnya ugutan untuk membongkar peranan bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dalam projek Kementerian Pelajaran.

Bekas ketua setiausaha kementerian pelajaran Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ugutan itu dibuat oleh Rayyan yang ingin merampas projek solar hibrid yang di bawah kementeriannya.

Tampil sebagai saksi pendakwaan keenam, Madinah berkata Rayyan menghantar beberapa mesej Whatsapp antara November 2017 dan Mei 2018 yang menurutnya difahami sebagai bahawa Rayyan tidak senang dengan Saidi dan ingin merampas projek berkenaan.

"Rayyan mendakwa bahawa Saidi telah melakukan pelbagai kesalahan dalam projek solar hibrid seperti mengubah terma-terma kontrak asal, membuat tuntutan palsu, dan menipu wang beberapa pihak dengan menggunakan projek solar hibrid.

"Tujuan Rayyan memberitahu saya perkara-perkara tersebut adalah supaya saya akan membantu dia untuk berjumpa (dengan) perdana menteri bagi tujuan mersolar hibrid daripada Saidi dan Jepak Holdings.

"Rayyan juga beritahu saya bahawa dia akan membongkar penglibatan PM dan mem dalam urusan pemerolehan projek solar hibrid kepada pembangkang sekiranya saya tidak membantu beliau," katanya kepada mahkamah semasa perbicaraan rasuah Rosmah.

Sebelum ini, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kelima, mendakwa bahawa Rosmah dirujuk sebagai "mem" dalam perbincangan mengenai projek itu dan bahawa beliau, melalui pembantunya, Rizal Mansor, telah melobi supaya projek berkenaan diserahkan kepada Jepak Holdings.

Rosmah berdepan tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada Jepak Holdings sebagai bantuannya untuk mendapatkan projek RM1.25 bilion untuk membekalkan dan memasang sistem hibrid solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Madinah berkata Rayyan telah menghantarnya tangkapan skrin (screenshot) mesej Whatsapp dari Rizal untuk membuktikan bahawa dia boleh menghubungkan Rosmah dengan projek itu.

"Rayyan telah menghantar screenshot ini kepada saya untuk menunjukkan penglibatan Rizal Mansor dan mem dalam permohonan projek solar hibrid yang boleh dibongkarkan oleh Rayyan sekiranya saya tidak membantu Rayyan merampas projek itu daripada Saidi," katanya.

Madinah berkata demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk mengesahkan mesej Whatsapp bertarikh 7, 8, 10 dan 11 Ogos 2017. Bagaimanapun kandungannya tidak dibacakan di mahkamah hari ini.

Tidak jelas siapa yang berkomunikasi dengan Rizal tetapi Madinah mengesahkan bahawa dirinya tidak terbabit dalam perbualan itu.

Madinah berkata beliau telah meminta Rayyan dan Ketua Setiausaha Sulit Najib, Iskandar Kaus untuk berhubung secara langsung antara satu sama lain.

Madinah dilantik oleh Najib sebagai ketua audit pada Februari 2017. Beliau menggantikan Ambrin Buang yang memilih untuk bersara ketika Jabatan Audit Negara berdepan dengan tekanan kerajaan atas dakwaan meminda laporan audit mengenai 1MDB, yang kini menjadi subjek perbicaraan berasingan ke atas Najib.

Madinah berkata, sebagai Ketua Audit Negara, beliau telah mengarahkan siasatan audit ke atas projek solar hibrid dan prosesnya bermula pada suku pertama 2018.

Terdahulu, dalam keterangannya, Madinah ditanya oleh pihak pendakwa sekiranya pemberian projek solar hibrid itu telah mematuhi prosedur dan beliau menjawab: "Pastinya, tidak".

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Jepak tidak memberikan pecahan kos projek itu dan butiran skop kerja yang dilakukan.

Tidak ada juga perunding bertauliah yang dilantik oleh syarikat berkenaan untuk projek itu.

"Projek hibrid solar ini tidak termasuk dalam rancangan pembangunan kementerian pelajaran sebelum ini."

Kementerian pelajaran telah mengeluarkan surat tawaran untuk projek itu setelah menerima arahan daripada Najib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen