malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rajendran: Pakatan Nasional mungkin mula di Melaka
ADS

Seorang pemimpin PKR Melaka mendakwa Melaka mungkin akan menjadi negeri pertama mewujudkan kerajaan campuran baru Pakatan Nasional.

Dakwaan itu dibuat di tengah-tengah dakwaan Umno, PAS dan beberapa pemimpin PKR sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru dan mengekalkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selama sepenggal.

Pengarah Komunikasi PKR Melaka G Rajendran mendakwa terdapat perbincangan oleh beberapa pemimpin PKR dan Bersatu negeri untuk mewujudkan kerajaan negeri baru bersama Umno.

"Saya boleh sahkan terdapat perbincangan di kalangan beberapa pemimpin PKR dan Bersatu untuk menukarkan ketua menteri Adly Zahari (Amanah) digantikan oleh salah seorang exco negeri.

"Saya juga dengar mereka sedang berbincang dengan Umno untuk penubuhan kerajaan negeri baru bersamanya ia dikenali sebagai Pakatan Nasional," katanya kepada Malaysiakini.

Adly Zahari

Pakatan Nasional bukanlah nama bagi sebuah gabungan rasmi, sebaliknya dilabel bagi menggambarkan kerjasama sebahagian parti Pakatan Harapan dengan BN dan PAS.

Isu Pakatan Nasional muncul sejurus selepas bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendedahkan wujudkan usaha presiden parti itu, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendapatkan sokongan bagi bekerjasama dengan Mahathir.

"Gabungan Pakatan Nasional ini baru dihangatkan di peringkat kebangsaan. Tapi, ia telah lama dibincangkan di Melaka sejak Oktober lalu. Jadi, saya ramal Melaka mungkin menjadi negeri pertama kewujudan pakatan baru ini.

"Saya dengar buat masa ini, terdapat dua perkara masih belum diselesaikan.

"Pertama, Umno dikatakan minta jawatan ketua menteri sekiranya Pakatan Nasional ini berjaya diwujudkan. Ini tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin PKR dan Bersatu yang sedang membuat perbincangan," katanya.

"Kedua, pemimpin-pemimpin ini (PKR dan Bersatu) masih sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pemimpin atasan dari peringkat nasional," tambahnya lagi.

Buat masa ini, PH Melaka mentadbir kerajaan negeri dengan kelebihan 15 kerusi DUN berbanding BN memiliki 13 sahaja.

Daripada 15 kerusi DUN dimenangi PH, lapan dimenang DAP, tiga PKR dan Amanah dan Bersatu masing-masing menang dua kerusi DUN pada PRU14 yang lalu.

Kesemua kerusi BN di Melaka milik Umno.

Ketika ditanya mengenai dakwaan ketidakhadiran seorang exco negeri ke mesyuarat majlis pimpinan negeri, Rajendran berkata bahawa beliau tidak pasti mengenainya.

"Saya dengar bahawa ada seorang exco tidak hadir ke mesyuarat majlis pimpinan negeri. 

"Dia juga keluar daripada kumpulan (kumpulan) WhatsApp exco-exco negeri. Tapi, saya tak pasti," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Adly dan pemimpin-pemimpin PKR dan Bersatu negeri untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Lihat Komen