malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH tak lagi kuasai kelebihan media sosial, kata Syahredzan
Diterbitkan:  Feb 17, 2020 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM
ADS

Pembangkang, terutama Umno, kini berjaya memanfaatkan media sosial untuk mengambarkan bahawa kerajaan PH sedang didominiasi orang Cina, kata setiausaha politik ahli parlimen Tanjung Puteri, Syahredzan Johan.

Menurut Syahredzan, apabila BN gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada 2018, gabungan itu memerlukan naratif tertentu - sebagai pembangkang - bagi menyerang PH yang menjadi kerajaan.

"Dengan ramai pemimpin yang kini berdepan dengan banyak kes rasuah, mereka perlukan suatu mesej yang mudah - tetapi berkesan - untuk menyerang kerajaan PH.

"Justeru, dengan PAS sebagai rakan baru, mereka bergantung kepada mesej (kononnya) kerajaan ini didominasi atau dikawal Cina.

"Sudah tentu apa yang mereka katakan itu tidak benar sama sekali," katanya seperti dipetik Malay Mail Online hari ini.

BN gagal untuk menjadi kerajaan buat kali pertama sejak merdeka dengan kemenangan PH menguasai kerusi di Dewan Rakyat. Sejak itu sebahagian besar parti bertindak meninggalkan gabungan tersebut.

Dalam keadaan menjadi pembangkang di peringkat pusat buat kali pertama, BN - khususnya Umno - menjalin kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional. MCA dan MIC pula berhubung dengan parti yang menjadi kerajaan di Kelantan serta Terengganu itu secara tidak langsung.

Antara isu yang banyak dimainkan pembangkang untuk menyerang PH ialah gabungan tersebut dikawal oleh "parti cauvinis Cina" merujuk kepada DAP. Hal itu bagaimanapun dinafikan PH.

BN semakin tingkatkan

Selain DAP, PH juga dianggotai PKR, Amanah dan Bersatu.

Syahredzan berkata, ketika ini kerajaan PH tidak memiliki kelebihan dari segi penguasaan media sosial dan kalah kepada pembangkang.

"Kita tidak lagi dapat menyanggah ini kerana ia sudah dibina begitu lama. Kita perlu mengakui bahawa sebagai suatu pakatan, kita sudah kalah dari segi kesepaduan dan keberkesanan komunikasi media sosial.

"Pembangkang mengambil kesempatan daripada kebebasan yang diberikan PH kepada rakyat untuk mereka menyebarkan propaganda.

"Kita sudah kehilangan kelebihan media sosial yang sebelum ini kita miliki," katanya.

Justeru, peguam itu berkata, PH mesti bekerjasama sebagai suatu gabungan untuk menyanggah naratif pembangkang melalui penggunaan media sosial.

Katanya, pembangkang berjaya mewujudkan persepsi dalam kalangan orang Melayu kononnya DAP ialah sebuah parti dianggotai cauvinis Cina.

Sementara itu Adun Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari, berkata naratif sebegitu yang diulang-ulang akhirnya dipercayai orang ramai.

Katanya media sosial kini dipenuni dengan berita palsu serta serangan laskar siber pembangkang.

"BN menggunakan cara ini sebelum PRU14 lagi, cuma sekarang mereka meningkatkannya lagi.

"Jumlah berita palsu yang ditularkan saban ahari agak mengecewakan. Kebenaran selalu ditenggelamkan oleh berita palsu," katanya.

Lihat Komen