malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tak bijak samakan undi percaya PAS dengan situasi Lubnan'
Diterbitkan:  Feb 16, 2020 12:36 PM
Dikemaskini: 4:44 AM
ADS

Menjadikan situasi politik di Lubnan sebagai contoh untuk menjustifikasi usul undi percaya yang mahu dibawa PAS adalah tindakan "membuta tuli" dan "tidak bijak", kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Pemimpin Amanah itu berkata demikian dengan merujuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berkata usul undi percaya turut diamalkan di Lubnan.

Jelas Hanipa, istilah 'undi percaya' yang ditulis di berita mengenai situasi Lubnan adalah merujuk kepada istilah 'undi tak percaya' yang gagal.

"Hakikatnya, apa yang berlaku di Lubnan itu sebenarnya, orang law kata 'in pith and substance' adalah" undi tak percaya kat perdana menteri baru di Lubnan (Hassan Diab yang ganti perdana menteri Saad Hariri) dan kabinetnya.

"Tapi undi tak percaya (terhadap Hassan) itu gagal.. Jadi ditulis (dalam) berita (sebagai) 'votes of confidence' (undi percaya)," katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Hanipa yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, situasi parlimen Lubnan itu juga tidak pelik kerana wujud protes jalanan terhadap kerajaan sejak Oktober tahun lepas.

"Yang pelik, bila ada orang guna apa yang berlaku di Lubnan untuk menjustifikasikan usul 'undi percaya pada Tun (Dr Mahathir Mohamad).

"Jika nak samakan hukum haram dadah misalnya orang buat analogi dengan arak. Baru kena. Takkan nak qiyas dadah dengan makan nasi. Itu qiyas tak tepat. Jauh tersasar tu," katanya.

Minta diberi kepercayaan

Pada Oktober tahun lepas, Saad Hariri meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Lubnan susulan bantahan besar-besaran seluruh negara menentang amalan rasuah dan sektiarianism.

Ahli akademik dan bekas menteri pendidikan, Hassan Diab diangkat untuk menggantikan Saad.

Bagaimanapun, tiga bulan selepas itu penunjuk perasaan di Lubnan mengadakan demonstrasi jalanan membantah kabinet baru Hassan yang dilihat tidak dapat menyelamatkan negara itu dari masalah ekonomi.

Dalam perkembangan terbaru beberapa hari lalu, dengan bantahan yang berterusan, Hassan dan kabinetnya berjaya meraih 63 daripada 84 sokongan ahli parlimen untuk kekal sebagai kerajaan.

Abdul Hadi sebelum ini mempertahankan usaha partinya untuk membentangkan undi percaya kepada Dr Mahathir di parlimen dengan mengatakan bahawa ia selari dengan proses demokrasi, selain turut diamalkan di Lubnan.

"Kita minta supaya (Tun) diberi kepercayaan menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal. Itu cadangan PAS.

"Dan kita ingin memberi cadangan yang paling munasabah. Dan kita tidak asing, kerana baru lagi parlimen Lubnan, baru dua tiga hari ini membuat undi percaya kepada perdana menterinya,” kata Abdul Hadi seperti dilapor harakahdaily.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen