malaysiakini logo
story-image
ADS

GLOBAL | Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan lima lagi kes jangkitan Covid-19 dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan penyakit itu di republik berkenaan menjadi 72 setakat ini.

MOH Singapura dalam kenyataannya memaklumkan kes positif baru itu melibatkan tiga rakyat Singapura dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Tiga daripada mereka dikaitkan dengan kluster di gereja The Grace Assembly of God, seorang kluster di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights dan satu lagi kes dikaitkan dengan kes sebelumnya.

Menurut MOH Singapura sejumlah 18 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah dibenarkan keluar hospital.

Daripada 54 kes positif yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih, manakala enam dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat ini, lima kes dikaitkan dengan The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road; sembilan kes kepada kluster dikaitkan dengan kedai produk kesihatan Cina, Yong Thai Hang; tiga mesyuarat perniagaan swasta di Grand Hyatt Singapura; dua tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights dan dua lagi berkenaan Grace Assembly of God.

- Bernama

Lihat Komen