malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LTTE 12: Keluarga minta orang ramai sokong kempen tandatangan
ADS

Keluarga 12 tahanan yang sedang dibicarakan kerana dikaitkan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) meminta lebih banyak sokongan orang ramai dalam usaha membebaskan ahli keluarga mereka.

Pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, keluarga terbabit berharap dapat mengumpul satu juta tandatangan dalam kempen petisyen bagi menggesa kerajaan meminda undang-undang drakanion dan berhenti mengaitkan LTTE dengan kumpulan pengganas.

M Tamilmalar mengakui dia tidak lagi tahu cara untuk membantu membebaskan suaminya, A Kalaimughilan, yang merupakan salah seorang daripada 12 individu yang ditahan.

"Kami tak tahu apa lagi cara yang boleh kami bantu. Kami tak tahu apa lagi kami boleh buat untuk bebaskan mereka, tapi kami cuba buat yang terbaik."

"Semua tahu ini adalah permainan politik, jadi kerana itu kami nak tunjuk sokongan orang ramai (terhadap 12 tahanan) kepada kerajaan," katanya kepada pemberita.

Turut hadir ialah ahli keluarga tertuduh yang lain.

Nada yang sama turut disuarakan G Nancy yang berkata beliau sanggup melakukan pelbagai usaha termasuk melancarkan petisyen bagi membantu membebaskan bapanya P Gunasekaran, yang merupakan Adun Seremban Jaya.

"Kami tak ada keyakinan terhadap (penglibatan) daulah terpedam, kami tak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Selain Gunasekaran, seorang lagi Adun DAP, G Saminathan (Gadek), juga berdepan perbicaraan terhadap tuduhan menyokong keganasan.

Rancang jelajah kumpul satu juta tandatangan

Petisyen berkenaan dilancarkan bagi menggesa kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan unsur-unsur drakonian dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Undang-undang kontroversi itu digunakan untuk menahan 12 individu berkenaan tanpa perbicaraan pada Oktober lalu. 

Peguam membidas penggunaan Sosma yang menafikan hak tertuduh untuk mendapatkan ikan jamin, menyebabkan anak guam mereka dipenjarakan.

Petisyen itu juga meminta LTTE dikeluarkan daripada senarai hitam di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan  Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

Ini kerana mereka mendakwa LTTE telah menamatkan operasinya di Sri Lanka pada tahun 2009.

Setakat ini, keluarga, bersama-sama NGO Persatuan Generasi Baru Tamil Malaysia, telah mengumpulkan sejumlah 48,660 tandatangan selepas membawa petisyen berkenaan ke Batu Caves, Pulau Pinang, Sungai Siput, Seremban, Johor dan Batu Berendam.

Mereka akan menuju ke Brickfields, Kuala Lumpur pada 22 Feb dan Rawang, Selangor pada hari berikutnya untuk mendapatkan lebih banyak tandatangan.

Versi petisyen dalam talian menunjukkan seramai 1,218 telah menandatanganinya setakat ini.

Mereka bercadang mengemukakan tuntutan itu ke Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Parlimen dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Malaysia.

Lihat Komen