malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 300 'pendekar Melayu' serah memorandum ke Istana Negara
ADS

Panas terik di ibu kota tidak menghalang lebih 300 peserta berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di istana negara hari ini.

Himpunan tersebut, yang merupakan anjuran NGO Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bertujuan memohon campur tangan baginda berkaitan dakwaan penghinaan terhadap institusi raja, Melayu dan Islam.

Seawal jam 8 pagi, peserta yang kebanyakannya mengenakan baju Melayu serta bertanjak seperti pendekar mula berhimpun dan bersiap sedia di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan.

Mereka juga kelihatan mengibar bendera yang tertera tulisan seperti "Patuhi Rukun Negara", "Komunis adalah Pengganas" dan "Menjunjung Titah Tuanku".

Sebelum ke Istana Negara, Timbalan Presiden Pembela, Masrizi Sad memaklumkan kepada peserta bahawa tiada perarakan diadakan susulan tidak mendapat kebenaran pihak polis.

“Kita tidak akan berarak tetapi akan menaiki kereta sendiri diiringi pihak polis di sana,” katanya.

Usai memberi taklimat tepat jam 11.15 pagi, peserta mula menaiki kereta sendiri untuk ke Istana Negara.

Bagaimanapun, hanya tiga wakil dibenarkan masuk, manakala peserta lain menunggu di hadapan pagar istana.

Selepas kira-kira 40 minit, ketiga-tiga wakil berkenaan keluar dari istana dan disambut oleh peserta perhimpunan yang menanti di luar.

Turut kelihatan ialah Setiausaha Sulit Kanan Yang Di Pertuan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim.

Menurut Masrizi, memorandum berkenaan diserahkan kepada Kolonel Nazim untuk disampaikan kepada Agong.

“Kita hantar memorandum kerana percubaan pihak tertentu yang jelas menolak kedaulatan Raja Melayu serta agama dan ini termasuk perkara dalam isu tulisan Jawi dan komunis yang baru berlaku, jadi ini mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sama memorandum yang sama akan diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Masrizi menjelaskan pihaknya akan melihat keadaan dahulu.

"Kerajaan pun sekarang dalam keadaan tak tentu, mereka pun ada masalah sesama sendiri, bagaimana nak mengadu,” katanya. 

Rancang serah memo kepada Sultan Selangor

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan), Sahruddin Esa berkata NGO terbabit juga sedang mengkaji kemungkinan menyerahkan satu lagi memorandum kepada  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini kerana menurutnya, isu komunis yang ditimbulkan sebelum ini bermula di Kajang.

Beliau merujuk kepada dakwaan pertemuan membabitkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember tahun lalu di Kajang.

Turut hadir dalam himpunan hari ini ialah NGO dari Pertubuhan Kebajikan Islah Malaysia (Perkid) dan pelakon Ellie  Surriaty Omar.

Sebelum ini isu pembelajaran Jawi memanaskan iklim politik Malaysia apabila cadangan kementerian pendidikan untuk memperkenalkannya dalam buku teks murid tahun 4 - termasuk di sekolah jenis kebangsaan Cina- ditentang oleh pertubuhan pendidikan Cina.

Isu komunis pula muncul semula apabila beberapa pihak membawa pulang abu mendiang pemimpin PKM, Chin Peng dari Thailand untuk disemadikan di negara ini.

Untuk rekod, sebelum ini, Pembela menangguhkan himpunannya atas nasihat polis disebabkan tarikh yang dikemukakan jatuh pada hari sambutan Wilayah dan Thaipusam.


Lihat Komen