BERITA

Covid-19: Pembelian pukal topeng muka untuk dihantar luar negara dilarang

Shakira Buang

14 Feb 2020, 12:29 pm

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kerajaan tidak membenarkan sebarang pembelian topeng muka secara pukal bagi mengelak kekurangan bekalan barang keperluan itu buat masa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, khususnya pembelian untuk dihantar ke luar negara.

"Kita dapati ada yang 'bertroli- troli' ambil topeng muka untuk dihantar ke luar negeri.

"Kerajaan tidak benarkan. Kita ada kuota sekarang supaya rakyat kita mendapat bekalan mencukupi," katanya di Putrajaya, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa peringkat tinggi Pengurusan Bencana Pusat mengenai wabak Covid-19.

Menurutnya, penjual juga diarahkan untuk tidak menjual secara pukal dan membuat kawalan kendiri.

"Kerajaan telah mengeluarkan surat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung arahan tersebut," katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata bagi memastikan permintaan topeng muka dan mulut mencukupi kerajaan telah memutuskan untuk memberi kelonggaran bagi syarikat pengeluar mengambil lebih ramai pekerja asing.

Wan Azizah berkata hasil perbincangan antara pengilang dengan KPDNHEP baru-baru ini mendapati pertambahan pekerja asing berkenaan secara tidak langsung membolehkan kilang terbabit beroperasi 24 jam.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertanggungjawab dalam memantau proses pengambilan pekerja asing berkenaan supaya berada dalam kawalan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.