BERITA

Isu pengusiran tanah wakaf selesai, 30 dapat pangsapuri percuma

susan loone

14 Feb 2020, 8:52 am

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Pada 2019, kekecohan berlaku di sebuah plot tanah wakaf di Jalan Mengkuang di Butterworth, Pulau Pinang.

Dikenali sebagai Tanah Wakaf Abdul Cauder, ia telah menjadi tempat tinggal 47 isi rumah selama beberapa generasi.

Bagaimanapun penduduk diberi notis untuk mengosongkan rumah mereka pada Mac tahun itu susulan hasrat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untukm membuat projek pembangunan di situ.

Protes diadakan sebagai tanda solidariti dengan penduduk dan kritikan terhadap kerajaan negeri kerana didakwa mahu mengusir mereka.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kemudian cuba berunding dengan kerajaan negeri bagi pihak penduduk.

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman kemudian campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Pada 21 Januari lalu, 30 penduduk kawasan itu masuk ke rumah baru mereka di Apartmen An Nur di Teluk Ayer Tawar, kira-kira lapan kilometer dari kediaman lama mereka.

Mereka ditawarkan unit berkeluasan 1,064 kaki persegi, dengan kabinet dapur, secara percuma.

"Pangsapuri dilengkapi dengan baik dan terdapat beberapa kemudahan seperti lot kedai, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta dan motosikal.

"Bekerja dengan senyap tetapi tekun, biar hasil yang membuktikannya," kata Zakiyuddin berkenaan kejayaannya menyelesaikan isu tersebut.

MAINPP pada mulanya menawarkan sebuah unit 1,000 kaki persegi di pangsapuri yang bakal dibangunkan di tanah wakaf itu kepada 50 keluarga.

Ia juga menawarkan elaun sewa sebanyak RM500 kepada mereka untuk berpindah sementara menunggu projek itu siap, serta elaun pemindahan antara RM3,000 ke RM4,500 apabila masuk ke unit tersebut.

Pada 2010, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Pulau Pinang memperuntukkan RM50 juta bagi projek pembangunan bercampur yang melibatkan 470 pangsapuri kos rendah dan sederhana.

Sejumlah 46 keluarga dicadang untuk berpindah ke pangsapuri tersebut dengan baki unit akan disewa kepada golongan berpendapatan rendah.

Namun, pada tahun itu, hanya 32 keluarga menerima tawaran itu, sementara 14 lagi menolaknya.

"MAINPP masih terbuka untuk berbincang dengan 14 keluarga tersebut," kata Zakiyuddin.