malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MB: Johor beli Toyota Camry lepas nilai bersama JKR
ADS

Pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri Johor baru-baru ini dibuat setelah penilaian dibuat bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.

Beliau mengesahkan kerajaan negeri telah membeli 15 buah Toyota Camry bagi menggantikan kereta rasmi dahulu iaitu jenis Honda Accord, yang didapati sudah melebihi enam tahun penggunaannya dan perbatuan antara 350,000 hingga 400,000 kilometer serta ada yang sering mengalami kerosakan.

Oleh itu penilaian dengan pihak JKR telah dilakukan bagi proses penggantiannya, katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim semalam yang mempersoalkan rasional pembelian Toyota Camry bagi kegunaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri.

Sahruddin berkata kereta Toyota Camry berkenaan mula digunakan pada Rabu lepas.

“Sebenarnya rancangan untuk penggantian kereta baharu ini telah dirancang semenjak tahun lepas lagi (2019) dengan menggunakan jenis yang sama (Honda Accord) namun tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa faktor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Taklimat Perluasan Sektor Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Daerah Muar di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang turut hadir pada majlis itu berkata sejak diperkenalkan pada 2017, SKSPS kini melibatkan 19 sektor pekerjaan berbanding hanya dua sahaja sebelum ini.

Katanya, di Johor terdapat kira-kira 700,000 orang yang bekerja sendiri namun hanya sekitar 7,000 sahaja yang mencarumnya.

“Caruman bagi skim ini serendah RM13.10 sebulan atau 43 sen sehari dengan memperuntukkan lapan jenis faedah iaitu perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional dan pendidikan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen