malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Media seronok buat cerita Anwar 'bertumbuk' dengan saya
Diterbitkan:  Feb 14, 2020 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memilih 'jalan' yang sering digunakan kebanyakan ahli politik Malaysia - menyalahkan media berhubung kontroversi yang dikaitkan dengan mereka.

Menurutnya, media bertanggungjawab terhadap kontroversi berhubung peralihan kuasa antara beliau dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Ini press (media) lah," jawabnya ketika ditanya berhubung perkara itu.

"Press seronok sangat (memainkan isu ini). Jadi wujud kontroversi, walaupun tak ada," katanya kepada pemberita di Langkawi, hari ini.

"Jadi bagi press kemungkinan saya 'bertumbuk' dengan Anwar dapat (membuatkan) seronok cerita. (Bagi media) lebih seronok cerita kalau semua orang bertumbuk," tambahnya.

Mahathir merujuk kepada pelbagai laporan spekulasi mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa mesyuarat majlis presiden PH pada Jumaat ini kemungkinan akan membincangkan sesuatu yang besar.

Mesyuarat terakhir telah diadakan pada 23 Nov.

Sumber mendakwa bahawa Mahathir mempunyai sokongan lebih daripada 130 anggota parlimen persekutuan, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak, untuk terus berkuasa sehingga akhir penggal.

Sementara itu, Anwar semalam mengesahkan kewujudan "plot licik" untuk memastikan Mahathir berkuasa tetapi berkata pengerusi PH itu tidak terlibat.

Anwar juga berkata isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan pada mesyuarat majlis presiden minggu depan.

Ketika bercakp kepada pemberita di Langkawi, Mahathir juga menjauhkan dirinya daripada plot yang dikatakan itu, mengatakan dia tidak terlibat dalam "aktiviti lain."

Mengulas bahawa sesetengah orang mahu dia kekal berkuasa selama 22 tahun, sama dengan tempoh pertama kali beliau memegang jawatan itu dari 1981 hingga 2003, bagaimanapun, Mahathir berkata beliau akan berundur selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada bulan November.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa bahawa sekumpulan ahli parlimen ditekan untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Lihat Komen