Pengiklanan

    Hishammuddin: Kenapa eksport, keluaran kelapa sawit masih rendah?

    (Dikemaskini )
    Berita

    Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran kemerosotan pengeluaran dan eksport minyak sawit terus berlaku.

    Ini kata MP Sembrong, meskipun Kertas Putih Felda telah dibentang di Dewan Rakyat pada April tahun lalu.

    Beliau mempersoalkan apa alasan yang akan digunakan PH ekoran pertumbuhan ekonomi paling rendah yang dicatat negara dalam satu dekad lalu.

    "Sekalipun Bank Negara (BNM) kata salah satu faktornya kerana pengeluaran minyak sawit negara berkurang, kenapa ia berlaku? Sedangkan, PH sendiri beri jaminan kononnya prestasi Felda akan baik menerusi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam Kertas Putih Felda.

    "Ini dah dekat setahun Kertas Putih Felda diwujudkan, kenapa pengeluaran minyak sawit bagi Januari 2020 terus jatuh dan 33 peratus lebih rendah berbanding Januari 2019?

    "Dan kenapa eksport produk minyak sawit bagi Januari 2020 terus jatuh dan 19% lebih rendah berbanding Januari 2019? Dalam situasi ini, saya amat bimbangkan nasib peneroka?," katanya pada satu hantaran di Facbooknya.

    Dua hari lalu, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku keempat (Q4) 2019.

    Ia dikatakan kadar yang paling rendah dalam satu dekad lalu disebabkan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli yang jauh lebih rendah, dan kejatuhan eksport akibat perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

    Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu adalah jauh daripada unjuran 4.2 peratus seperti yang dibuat dalam tinjauan Reuters, dan lebih rendah daripada 4.4 peratus pada suku ketiga.

    Pertumbuhan 2019 adalah pada 4.3 peratus. Angka itu adalah di bawah paras unjuran kerajaan iaitu pada 4.7 peratus dan yang paling lemah sejak 2016.

    Bank Negara Malaysia berkata wabak koronavirus di China juga akan menjejaskan pertumbuhan negara pada 2020, khususnya pada suku pertama tahun ini.

    Sementara itu, BNM dalam satu kenyataan berkata, KDNK boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi, menurut BNM.

    Hishammuddin dalam kenyataannya hari ini juga berkata perkembangan terkini ekonomi negara cukup meresahkan rakyat khususnya pada peneroka.

    "Ketika balik Sembrong minggu lepas, peneroka sendiri mengadu pendapatan mereka berkurang dan ini meresahkan mereka," katanya.

    Beliau turut mempersoalkan Majlis Tindakan Ekonomi yang ditubuhkan kerajaan setahun lepas yang kononnya bertujuan untuk merancakkan ekonomi negara.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih