Pengiklanan

    Pendakwa mahu lanjut masa untuk Najib, keluarga periksa barang dirampas

    (Dikemaskini )

    Pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan bagi melanjutkan masa berhubung perintah mahkamah untuk membenarkan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan keluarganya memeriksa barang-barang yang disita berkaitan siasatan 1MDB.

    Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa permohonan itu akan difailkan kerana masa tidak mencukupi untuk mematuhi perintah agar Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak perempuan pasangan itu Nooryana Najwa meneliti barang-barang yang dirampas Isnin depan.

    Pada 3 Feb, mahkamah membenarkan permohonan Najib dan keluarganya memeriksa barang-barang berkenaan, yang kini disimpan dalam bilik kebal di Bank Negara, untuk membantu mereka menyediakan pembelaan terhadap saman pelucuthakan 1MDB.

    Harris memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan walaupun kedua-dua pihak bersetuju pemeriksaan diadakan hari ini, namun ia tidak dapat dilakukan.

    "Petang semalam, (kami) telah dimaklumkan (oleh Bank Negara) yang pemeriksaan tidak boleh dilakukan hari ini berkaitan isu keselamatan," katanya.

    Zaini berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan bekerjasama dengan Bank Negara berkaitan isu keselamatan semasa proses pemeriksaan dijalankan.

    Hakim kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan permohonan melanjutkan pada hari ini dan pengurusan kes ditetapkan Isnin depan bagi menetapkan tarikh pendengaran.

    Ketika ditemui selepas prosiding, peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib dan keluarganya berkata, mereka menerima e-mel daripada Bank Negara lewat petang semalam yang mengatakan gabenor bank pusat itu mahu pemeriksaan dijalankan pada hujung minggu.

    "Oleh kerana kami menerima notis yang singkat, ia sudah terlambat (untuk melakukan pemeriksaan pada hujung minggu)," katanya.

    Pada 18 Julai tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk memeriksa dan mendapatkan butir-butir barangan yang dirampas pada 17 Mei 2018 ketika serbuan di kediaman yang dikaitkan dengannya.

    Beliau meminta gambar berwarna bagi item-item berkenaan dan butiran terperinci.

    Rosmah dan Nooryana Najwa kemudian memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memeriksa barang berkenaan secara fizikal.

    Barang-barang yang mahu diperiksa oleh bekas perdana menteri dan keluarganya bernilai RM10 juta daripada saman pelucuthakan RM31 juta terhadap Najib, Rosmah, Nooryana Najwa, abangnya Norashman dan anak tiri Najib Riza Aziz, serta beberapa yang lain.

    Saman pelucuthakan itu juga mensasarkan, antara lain, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, isterinya Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam yang didakwa merupakan rakan Jho Low dan Rembulan Kembara Sdn Bhd.

    Pemegang saham bagi Rembulan Kembara ialah bapa Low iaitu Larry Low.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih