malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis lapor polis untuk dapatkan semula RM2.5b duit pekerja asing
ADS

Seorang aktivis buruh membuat laporan polis terhadap tiga syarikat yang dilantik di bawah pentadbiran BN sebelum ini yang didakwa gagal menjalankan program penggajian semula pekerja asing.

Ahli Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia Selangor, Abdul Aziz Ismail menggesa polis menyiasat dan mendapatkan semula lebih RM2 bilion yang didakwa dikutip daripada pekerja asing yang gagal diberikan permit dalam program yang dijalankan dari Februari 2016 hingga Jun 2018.

"Apabila permit mereka tidak dikeluarkan tetapi wang yang telah dikumpulkan, ia adalah satu bentuk 'keuntungan haram' di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram," kata Abdul Aziz kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz berkata, beliau juga menggesa polis menyiasat dakwaan unsur-unsur penyeludupan manusia, eksploitasi buruh dan rasuah yang berkaitan dengan kes itu.

Dalam laporan yang dibuat di balai polis Petaling Jaya semalam, Abdul Aziz memetik laporan yang mengatakan seramai 744,942 pendatang tidak sah telah mendaftar untuk menjalani program penggajian semula sehingga 30 Jun 2018.

Daripada angka itu, Abdul Aziz mendakwa hanya 110,489 dikeluarkan permit baru, manakala baki seramai 415,791 pendatang lagi gagal mendapat permit walaupun telah membuat bayaran di antara RM922.52 dan RM4,513.86 untuk ketiga-tiga syarikat.

"Saya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

Ketika sambutan Hari Migran Antarabangsa pada 18 Dis lepas, NGO Tenaganita memetik angka yang sama bagi wang yang dikumpul daripada pendatang tanpa izin berkenaan.

Pengarah Tenaganita, Joseph Paul Maliamauv menganggarkan terdapat kira-kira 700,000 pendatang tanpa izin membayar purata RM5,000 setiap seorang kepada tiga syarikat itu antara 2016-2018 tetapi kurang daripada 200,000 daripada mereka menerima permit.

Beliau juga mengatakan anggaran sebanyak RM2.5 bilion dikutip daripada pekerja selebihnya yang gagal mendapat permit.

Tenaganita menggesa kerajaan bertanggungjawab kerana ketiga-tiga syarikat berkenaan telah menjalankan program penggajian bagi pihak kerajaan.

Mulai 16 Feb 2016, program penggajian semula dilaksanakan untuk memberikan pekerja tanpa izin permit kerja yang sah bagi memenuhi keperluan buruh di sektor tertentu, termasuk pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Pada 1 Jun 2018, Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Mustafar Ali berkata perkhidmatan semua tiga syarikat vendor - MyEG Services Sdn Bhd, Iman Resources Sdn Bhd dan Bukti Megah Sdn Bhd - akan ditamatkan pada akhir program.

Kerajaan Pakatan Harapan kemudian melancarkan program 'Back For Good' untuk memberikan pengampunan sehingga tengah malam 31 Disember tahun lepas, dalam usaha mengurangkan jumlah pekerja asing tanpa izin di negara ini.

Sementara itu, jurucakap MyEG ketika dihubungi berkata syarikat itu telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.

"Kami mengesahkan bahawa MYEG telah mematuhi semua prosedur imigresen dan arahan pada masa lalu dan masih mengikuti semua arahan imigresen mengenai perkara ini pada masa ini," katanya.

Malaysiakini masih berusaha mendapatkan reaksi daripada dua lagi syarikat terbabit.



Lihat Komen