BERITA

Dr M suarakan setiakawan M'sia dengan China pada Presiden Xi

14 Feb 2020, 1:59 am

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Perdana menteri menyatakan solidariti negara terhadap Beijing yang sedang berhadapan dengan krisis Covid-19.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan rasa setiakawan Malaysia kepada Presiden China Xi Jinping susulan Beijing yang sedang berhadapan krisis Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, dua pemimpin itu bercakap selama setengah jam menerusi panggilan telefon semalam.

“Kedua pemimpin itu bercakap mengenai persefahaman dan kerjasama yang rapat dalam membendung serta mengatasi wabak tersebut dan mengurangkan kesannya.

“PM (Dr Mahathir) menyampaikan solidariti Malaysia dan sokongan kukuh terhadap China dan menyatakan keyakinan terhadap setiap usaha yang dilakukan oleh Presiden Xi dan kerajaannya dalam hal ini," katanya.

Menurut Kementerian Luar lagi, Xi berkata China akan tetap menjaga rakyat Malaysia di negaranya sebagai mana mereka menjaga rakyatnya sendiri di tengah-tengah wabak penyakit itu.

"Presiden Xi menghargai persahabatan dan bantuan Malaysia, dan memberi jaminan bahawa China mempunyai kekuatan untuk melawan wabak Covid-19, dan akan menjaga rakyat Malaysia dan orang lain yang kini berada di China seperti warganegara mereka sendiri," kata kenyataan itu.

Statistik terkini merekodkan bahawa terdapat 1,486 kematian Covid-19 di seluruh dunia, dengan 1,483 (99.8 peratus) berlaku di China.

Daripada 65,209 kes yang dilaporkan, 64,627 (99.1 peratus) berada di China. Daripada jumlah itu, 5,954 telah pulih daripada penyakit itu.

Malaysia mempunyai 19 kes Covid-19 - enam warganegara Malaysia dan 13 warganegara China - dan tiada kematian direkodkan.

Tiga daripada 13 warga China itu telah pulih daripada jangkitan virus berkenaan.

Laporan Berkaitan