BERITA

Pelajar dibawa ke hospital sebab disyaki hidap penyakit berjangkit - Kesihatan Johor

Bernama

14 Feb 2020, 12:04 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan bahawa seorang pelajar positif Covid-19 telah ditahan polis di sebuah sekolah dekat Kulai semalam, sebaliknya menjelaskan pelajar itu dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut melibatkan kes penyakit berjangkit.

Pengarah JKNJ, Dr Aman Rabu berkata tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh sebuah hospital kerajaan.

“Laporan polis tersebut dibuat rentetan seorang kanak-kanak yang disyaki menghidap penyakit berjangkit dibawa pulang oleh keluarganya walaupun perlu dimasukkan ke wad untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru lewat malam ini.

Beliau berkata tindakan menyusul pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit oleh polis adalah mengikut prosedur bagi memastikan pihak terbabit mematuhi arahan pihak hospital.

Memandangkan pesakit merupakan kes yang disyaki menghidap penyakit berjangkit, pihak polis telah meminta bantuan ambulans untuk tujuan dimasukkan ke wad, katanya.

“Orang awam perlu mengambil maklum bahawa adalah menjadi kesalahan jika seseorang melanggar arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” kata Dr Aman yang berharap masyarakat tidak menularkan berita tidak tepat yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen