BERITA

KKM nafi laporan dakwa individu mati akibat Covid-19

13 2月 2020, 1:53 下午

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan laporan berita berkenaan seorang individu yang meninggal dunia akibat wabak koronavirus 2019 (Covid-19) di sebuah hospital di Pulau Pinang semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, kementerian itu berkata individu tersebut telah disahkan negatif virus itu.

Kenyataan itu susulan laporan akhbar China Press yang mengaitkan kematian seorang individu dengan Covid-19.

"Pesakit berkenaan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang disebabkan batuk dan bengkak di kedua-dua belah kaki pada 10 Februari. Dia tiada sejarah pergerakan ke China atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan Covid-19.

"Pesakit itu juga mempunyai masalah kesihatan kronik yang lain dan masih dalam rawatan susulan. Dia dimasukkan ke wad dan seterusnya Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan kesihatan yang kian merosot.

"Pada 12 Februari lalu, pesakit itu telah meninggal dunia disebabkan oleh 'septic shock with multiorgan failure complicated with cardiogenic shock'," kata kementerian itu.

Kementerian Kesihatan berkata lagi, sampel klinikal pesakit itu telah diambil untuk ujian saringan jangkitan Covid-10 dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19, dan keputusan makmal menunjukkan negatif.

Menurut laporan berita tersebut, pesakit dimasukkan ke hospital akibat selesema beberapa hari lalu dan meninggal dunia semalam.

Laporan China Press yang memetik ibu pesakit itu mengidap asma dan masalah jantung dan meninggal akibat serangan jantung.

[Baca berita asal]