BERITA

SD sokong Dr M hanya khabar angin - Saifuddin

Shakira Buang

13 Feb 2020, 7:19 am

Dikemaskini sebulan lepas

A
+
A
-

Mengulas mengenai dakwaan wujudnya akuan berkanun (SD) yang ditandatangani sekumpulan ahli parlimen bagi menyokong Dr Mahathir Mohamad terus kekal berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata ia hanyalah khabar angin.

Malah, Saifuddin menganggap dakwaan yang dimuatkan dalam laporan Sarawak Report itu cuma rencah dalam arena politik.

"Saya baru baca laporan (Sarawak Report) itu semalam, dan tidak ada dalam pengetahuan kami.

"Akuan berkanun itu hanya khabar angin, setakat yang saya tahu," katanya kepada pemberita selesai selesai sesi dialog bersama industri mengenai impak Covid-19, di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Sarawak Report yang mendakwa beberapa ahli parlimen termasuk PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pentadbiran Dr Mahathir sehingga habis penggal.

Laporan Sarawak Report yang memetik sumber itu berkata ahli parlimen daripada Umno, PAS, Bersatu turut digesa untuk menandatangani akaun bersumpah itu dalam tempoh 48 jam terakhir.

Bagaimanapun, mengulas sama ada beliau turut didekati mana-mana pihak untuk menandatangani SD tersebut, Saifuddin yang juga menteri KPDNHEP berkata setakat ini tidak ada.

"Tidak ada pengesahan (mengenai akuan berkanun) dan itu masih kekal sebagai berita yang dilaporkan. Tidak ada sesiapa yang tampil.

"Tidak ada orang yang mendekati saya. Setakat yang saya semak tidak ada," katanya lagi.

Bagaimanpun, Saifuddin berkata pihak Majlis Presiden PH akan mengadakan mesyuarat seperti biasa, Jumaat minggu depan.

Namun beliau tidak mengulas sama ada perkara Itu akan dibangkitkan pada mesyuarat terbabit.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai apa-apa akaun bersumpah yang didakwa bagi menyokong Dr Mahathir.

"Saya tidak dimaklumkan secara rasmi," kata Anwar ringkas.