Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Alam Flora Sdn Bhd menyumbang 12 buah lori sampah (kompaktor) untuk kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan dalam usaha membantu kerajaan negeri menguruskan sisa pepejal dengan lebih baik dan berkesan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kompaktor baru yang disumbangkan itu bagi mengantikan kompaktor yang sudah uzur.
"Jadi hari ini kita menyerahkan atau menyumbang beberapa (12) kompaktor untuk memudahkan urusan kutipan sampah di negeri Kelantan dan dengan adanya kompaktor baru ini kita harap, pengurusan sampah itu lebih cekap, lebih kemas dan bersih.
"Jadi dengan kompaktor baru ini ia juga dapat memungut 12 tan sampah bagi setiap buah lori, dan ia dibekalkan dengan sistem yang mana tidak akan mengeluarkan bau sampah-sampah itu.
"Ada dua perkara rungutan, aduan daripada rakyat negeri Kelantan yang lori-lori yang bawa sampah itu tidak terkawal baunya, jadi tak senang ya, sampah-sampah juga kadang-kadang terjatuh dan air sampah juga menjejeh," katanya kepada media selepas majlis penyerahan kompaktor selepas perasmian Kempen Anti-Litter sempena 'Kempen Jupo Sapo Kutip Jangan Tohok Koksey' di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Sdn Bhd, Mohd Zain Hassan.
Sementara itu Zuraida berkata, kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri membuat perancangan jangka panjang untuk mewujudkan dua pusat Waste-to-Enegry (WTE) untuk memproses sampah dan menjadikannya sebagai bekalan elektrik.
"Dengan pengurusan sampah ini saya harap ia dapat membuat Kelantan lebih bersih, lebih ceria dan akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Pengurusan sampah menjadi satu simbol kepada sesebuah negeri kerana jika sampah diuruskan dengan baik, ia sekaligus mencerminkan kualiti hidup rakyat itu sendiri," katanya.
Dalam perkembangan sama, Zuraida memaklumkan lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang sehingga kini belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam Akta 672.
Jelasnya, usaha menandatangani akta berkenaan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, menerusi pengurusan sisa pepejal lebih teratur.
"Akta berkenaan memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih standard di seluruh negara selain akan memudahkan kerajaan persekutuan menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri dalam perkara ini.
"Kerajaan negeri juga akan mendapat pelbagai manfaat menerusi pelbagai program yang diaturkan menerusi akta berkenaan," katanya.

