malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM bimbang tiada sekatan dalam bahan bacaan digital
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangan tiada sekatan dalam pembacaan digital.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh tentang industri surat khabar yang semakin suram susulan pengaruh media digital.

“Yang berubah ialah sumber pembacaan. Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital.

"Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan di dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat.

"Di sinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini – untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di Dewan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, walaupun sumber bacaan sudah berubah, namun budaya membaca masih perlu dikekalkan.

Justeru, kata pengerusi PH itu, usaha membudayakan amalan membaca perlu disusun secara sistematik dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

"Program demikian hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh semua pihak yang terlibat bagi melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

"Ini akan menjadi menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya lagi.

Dewan Rakyat pada 29 Okt tahun lalu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan BN.

Akta itu dimansuhkan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

Bagaimanapun, pada 30 Jan lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Akta Antiberita Tidak Benar yang sudah dimansuhkan boleh difikirkan semula bagi menangani penyebaran berita palsu di negara ini.

"Ya, soal tidak ada undang-undang Akta Antiberita itu satu isu yang boleh kita (kerajaan) fikirkan semula.

"Perkara itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk menelitinya dan diputuskan nanti," katanya.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said yang mengkritik kerajaan Pakatan Harapan kerana memansuhkan akta antiberita tidak benar memandangkan situasi penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus dalam sosial media.

Lihat Komen