BERITA

Pertumbuhan lembap global akan jejaskan ekonomi domestik pada Q1 2020

12 Feb 2020, 9:58 am

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Kelembapan pertumbuhan global susulan penularan jangkitan Covid-19 dijangka terus memberi kesan terhadap ekonomi domestik pada suku pertama (Q1) tahun ini.

RAM Ratings Services Bhd berkata penularan Covid-19 dan kesannya terhadap perkhidmatan dan industri budi bicara seperti pelancongan, runcit serta makanan dan minuman akan menjejaskan sektor perkhidmatan, yang merupakan komponen sektor terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Rantaian bekalan, khususnya yang paling berkait dengan China, akan terjejas susulan penutupan sementara kilang. Eksport barangan bagi penggunaan industri dan isi rumah akan sederhana di tengah-tengah permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran lebih rendah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

RAM Ratings berkata penentu utama kesan risiko penurunan ini ialah tempoh dan tahap keterukan jangkitan itu yang boleh mengurangkan 0.2 hingga 0.5 mata peratusan daripada unjuran pertumbuhan KDNK 2020.

“Justeru, kami mengekalkan unjuran kami bagi KDNK 2020 secara optimis pada 4.5 peratus walaupun terdapat risiko penurunan ketara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi IHS Markit Asia Pasifik, Rajiv Biswas berkata penurunan perbelanjaan pelaburan awam dan kelembapan berterusan yang dialami eksport elektronik telah mempengaruhi keseluruhan kadar pertumbuhan pada 2019.

Bagaimanapun, prospek 2020 pula bergantung kepada risiko penurunan lebih besar disebabkan kejutan ekonomi daripada wabak Covid-19 di China, yang menjejaskan ketibaan pelancong China ke negara Asia lain.

“Gelombang kejutan daripada wabak Covid-19 di China juga telah meningkatkan risiko penurunan bagi pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2020,” katanya.

Beliau berkata momentum pertumbuhan pada suku pertama 2020 boleh terjejas secara ketara berikutan ketibaan pelancong China yang rendah, serta pengurangan pesanan baharu dari China ke atas barangan perkilangan dan bahan mentah, susulan gangguan dalam pengeluaran perindustrian.

Mengenai prestasi ekuiti dan ringgit, Ketua Pakar Ekonomi IQI Global, Shan Saeed berkata bursa tempatan akan kekal suram memandangkan pelabur memilih untuk tidak memasuki pasaran ketika ini ekoran peningkatan ketidaktentuan dunia.

“Bagaimanapun, kami yakin apabila ketidaktentuan itu reda, pelabur akan meneroka semula strategi portfolio masing-masing dalam melangkah maju sebaik sahaja penilaian memenuhi jangkaan mereka,” katanya kepada Bernama.

Susulan KDNK Malaysia yang diumumkan hari ini lebih rendah berbanding jangkaan, FBM KLCI turun 7.86 mata kepada 1,543.62 setakat 3 petang tadi.

Bagi penilaian ringgit, Shan berkata unit tempatan akan menjejaki penilaian yuan China serta pergerakan harga minyak mentah tahun ini.

“Kami mengunjurkan mata wang tempatan diniagakan di antara 3.97 dengan 4.3 tahun ini,” katanya.

Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019 menjadikan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata prestasi ekonomi itu dicapai berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau berkata penularan Covid-19 dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020, bergantung kepada bagaimana virus itu merebak.

Inflasi keseluruhan adalah rendah pada 1.0 peratus bagi suku keempat 2019, menjadikan kadar inflasi 2019 pada 0.7 peratus.

- Bernama