malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa: Bubar saja Parlimen kalau susah sangat nak selesai - MPN
ADS

Jika isu peralihan kuasa tidak dapat dimuktamadkan, kerajaan perlu membubarkan Dewan Rakyat dan menyerahkan kembali soal itu kepada rakyat, kata Majlis Profesor Negara.

Presiden dan CEO MPN Profesor Dr Raduan Che Ros menyifatkan isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim adalah perkara utama yang perlu diselesaikan segera.

"Kalau ada keikhlasan, perlu diberi perhatian kepada isu utama iaitu peralihan kuasa yang masih terawang-awangan.

"Ini hanya perbincangan akedemik, selesaikan itu dulu.

"Kalau susah sangat, MPN gesa bubar Parlimen serah kembali kepada rakyat," katanya dalam sidang media di Kajang, hari ini.

Turut sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi MPN Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Raduan Che Ros

Tiada garis masa yang ditetapkan bagi perkara itu tetapi Mahathir berulang kali berkata beliau akan menunaikan janjinya. Pada Disember lalu, perdana menteri membayangkan ia akan berlaku selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November tahun ini.

Dalam satu wawancara dengan portal The Malaya Post pada 9 Februari lalu, Mahathir sekali lagi berkata akan menunaikan janjinya tetapi pada masa sama menegaskan keputusan muktamad terletak pada sokongan anggota Dewan Rakyat.

Anwar pula pada bulan lalu menggesa para pemimpin PH menghentikan polemik itu dan mahukan isu itu diselesaikan secara baik, susulan beberapa anggota parlimen PKR yang mendesak satu tarikh jelas ditetapkan untuk ia berlaku.

Pada masa sama, PAS bercadang membawa usul undi percaya di Parlimen bagi menyatakan sokongan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri untuk penggal ini.

Mengulas lanjut, Raduan berkata perkara itu perlu diselesaikan kerana ia menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil dan mengganggu hala tuju negara.

"Kita tak nampak hala tuju besar ekonomi negara, dalam soal pendidikan pula berapa ramai graduan masih mencari pekerjaan.

"Masyarakat di kawasan pedalaman harapkan kerajaan lakukan sesuatu...Maka sangat terdesak untuk isu ini diselesaikan sekarang. Kita sudah beri peluang untuk kerajaan lakukan yang terbaik," katanya lagi.

Lihat Komen