malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIC: Usul undi percaya PAS kepada Dr Mahathir tiada kaitan dengan BN
ADS

Usul undi percaya yang dicadangkan PAS sebagai sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad kekal sebaik perdana menteri sehingga habis penggal pilihan raya ke-14 (PRU14) tidak berkaitan dengan BN.

Presiden MIC, S Vigneswaran berkata, bahawa beliau tidak berpengetahuan sekiranya PAS berbincang usul sokong PM di peringkat BN.

"Bagi saya, ini usul yang dicadangkan oleh PAS. Tidak kena mengena dengan BN. Saya tidak tahu adakah PAS berbincang dengan BN," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian MIC berhubung usul undi percaya yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 8 Februari lalu.

MIC adalah antara parti komponen dalam gabungan BN bersama Umno dan MCA.

Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 16 September 2019 dan dijangka diwujudkan secara rasmi pada Mei 2020.

Tuan Ibrahim sebelum ini bersama Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberitahu bahawa PAS akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri.

Kata mereka, keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan Dr Mahathir, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Tambah mereka, usul itu adalah bagi mengakhiri kemelut berhubung peralihan kuasa perdana menteri yang dakwa mereka “telah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi” selain mengganggu perdana menteri untuk terus mentadbir negara.

Bagaimanapun, Vigneswaran yang juga speaker Dewan Negara memberitahu bahawa usul undi percaya bukan satu perkara sensitif.

"Ia bukan satu perkara kontroversi. Saya melihat tidak (ada) masalah.

"Mengambil kira situasi semasa negara dilanda wabak virus, ketidakstabilan ekonomi... lebih-lebih lagi PH (Pakatan Harapan) sokong PM... Tidak siapa cabar PM, jadi apa masalah dengan usul ini.

"Namun, ini tidak bermakna kami tidak mempunyai perbezaan pendapatan dengan kerajaan," katanya.

Semalam Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata bahawa cadangan PAS untuk membawa 'usul undi percaya' satu perkara 'canggung' yang tidak pernah dibuat mana-mana parti pembangkang sesebuah kerajaan.

Menganggap ia sebagai tiada asas, Anwar yang juga presiden PKR berkata perkara itu pada pendapatnya tidak wajar pun diangkat untuk dibincangkan di dalam mesyuarat PH.

"PAS biasalah. Itu usul PAS, kita tidak anggap itu perkara yang serius. Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH). Dia akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi dia. Kita tidak akan tertipu," katanya.

Untuk rekod, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan bersidang bermula 9 Mac ini.

Peralihan kuasa perdana menteri dipersetujui sebelum pilihan raya umum ke-14, Mei 2018 lalu, yang menyatakan Mahathir akan menjadi perdana menteri terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Anwar, namun tempoh untuk peralihan itu berlaku tidak dijelaskan secara spesifik.

Dalam kalangan penyokong Anwar, mereka mendesak Mahathir untuk menyegerakan peralihan kuasa dan memberikan tarikh jelas beliau akan melepaskan jawatan.

Desakan itu semakin lantang setelah PH mengalami kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, menyebabkan ada yang mendakwa peralihan kuasa perlu disegerakan.

Bagi penyokong Mahathir dalam Bersatu, dan beberapa pihak dalam PKR seperti timbalan presidennya, Azmin Ali, mereka menyuarakan sokongan agar Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga akhir penggal PRU14.

Lihat Komen