malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pakej ransangan ekonomi hadapi koronavirus diumum awal Mac
ADS

Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu industri tempatan berdepan kesan akibat koronavirus baru (2019-nCoV) akan diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada awal Mac, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Pengumuman itu akan dibuat sama ada akhir bulan ini atau awal bulan depan.

"Kami akan mendapatkan input daripada semua orang tetapi pengumuman itu tidak akan dibuat oleh saya, perdana menteri akan umumkan," kata Lim dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perluasan skim MySalam di Ibu Pejabat Kementerian Kewangan.

Lim berkata mesyuarat telah diadakan dengan pihak berkepentingan dan perbicangan seterusnya akan diadakan bagi membincangkan pakej terbabit, yang dicadangkan pada 31 Jan lalu bagi menangani wabak berkenaan.

Lim juga berkata, kementeriannya telah menyediakan dana untuk Kementerian Kesihatan mendapatkan lebih banyak pengimbas haba bagi menangani wabak berkenaan.

"Jika terdapat sebarang permintaan lain, kami akan cuba yang terbaik untuk memenuhi apa sahaja yang diperlukan Kementerian Kesihatan untuk mengatasi cabaran ini. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan, "katanya.

Putrajaya juga baru-baru ini mengumumkan bahawa pengeluar penutup hidung dan mulut bersetuju meningkatkan pengeluaran mereka bagi memenuhi permintaan yang tinggi akibat penularan wabak koronavirus, dengan jaminan bahawa kerajaan akan membeli pengeluaran tambahan.

Ditanya berapa banyak perbelanjaan kerajaan untuk mendapatkan topeng tambahan berkenaan, Lim berkata, proses itu diambil alih oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma).

"Kami telah memulakan proses, ia berada di bawah kedua-dua kementerian (Kementerian Kewangan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), tetapi ia telah diambil alih oleh Nadma.

"Mereka merasakan ini adalah satu kes yang cukup serius untuk mewajarkan diambil alih oleh Nadma dan kini mereka telah mengambil alih pembelian topeng muka ini," katanya.

Sehingga semalam, jumlah jangkitan koronavirus di negara ini mencatakan sebanyak 18 kes, di mana tiga pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital.

Lihat Komen