malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM akan panggil beberapa individu berhubung rakaman audio Najib
ADS

RAKAMAN NAJIB | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung sembilan set rakaman perbualan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, bulan lalu.

Bagaimanapun, ketua pesuruhjayanya, Latheefa Koya enggan menamakan individu yang akan dipanggil badan pencegahan rasuah itu.

"Saya tidak boleh beri komen mengenai siapa yang akan kita panggil tetapi pada dasarnya saya fikir anda boleh rasa siapa yang akan dipanggil," katanya pada Simposium Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 mengenai Permerkasaan Wanita Untuk Melawan Rasuah, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata semua pemilik suara dalam rakaman berkenaan 'sepatutnya' dipanggil SPRM.

Mengulas lanjut, Latheefa turut mendedahkan bahawa agensi penguatkuasa itu hampir selesai dengan siasatannya.

Rakaman perbualan tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah suapan atau RM10,000 bergantung kepada jumlah nilai suapan.

Selain SPRM, polis juga sedang meneliti rakaman audio berkenaan.

"Jadi diharapkan (siasatan) akan selesai dalam masa satu atau dua minggu. Dan kemudian kita akan semak dengan polis juga, apakah tahap (penyiasatan mereka).

"Tetapi saya rasa mereka sedang menunggu barisan saksi utama untuk datang dan memberi kenyataan. Polis juga menunggu, kami juga menunggu. Oleh kerana terdapat kes-kes yang berterusan (jadi) sukar untuk menjamin kehadiran mereka," kata Latheefa.

Salah satu klip audio berkenaan memperlihatkan bekas Ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad menghubungi Najib pada 5 Jan 2016 berhubung kertas siasatan tertentu.

Satu lagi audio menperlihatkan isteri Najib, Rosmah Mansor "menasihati" hal berkaitan SPRM, dan mengesahkan telah meluluskan pelantikan Dzulkifli sebagai ketua SPRM.

Masih dapatkan maklumat mengenai AirAsia

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM masih menunggu maklumat daripada Serious Fraud Office (SFO) di London, sebelum memutuskan untuk memanggil bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd Kamarudin Meranun dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Fernandes.

Tambah Latheefa, pihaknya hanya akan memanggil mereka selepas meneliti terlebih dahulu dokumen siasatan agensi anti rasuah United Kingdom.

"Kami masih menunggu maklumat lanjut [...]

"Ya, kami telah menghubungi (pihak berkuasa UK) tetapi mereka belum maklumkan kembali kepada kami," katanya.

Siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan syarikat pembuat kapal terbang Airbus dan dua eksekutif AirAsia itu telah dimulakan SPRM pada 1 Februari lalu.

Latheefa sebelum ini berkata mengikut Akta SPRM, agensi itu mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah yang dilakukan mana-mana warga negara atau penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat di luar negara.

Dokumen mahkamah di London baru-baru ini menyebut Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia dan AirAsiaX.

AirAsia menafikan semua dakwaan itu. Kamaruddin dan Tony juga menafikan pasukan Formula 1 Caterham mempunyai sebarang kaitan dengan tuduhan rasuah membabitkan Airbus.

Pada 3 Februari lalu, kedua-dua mereka melepaskan jawatan eksekutif dalam AirAsia untuk tempoh dua bulan sementara menunggu siasatan.

Lihat Komen