malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
7 hari untuk pemimpin PAS Perak mohon maaf atau disaman
ADS

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi memberi tempoh tujuh hari kepada Ketua Penerangan PAS Perak Mohd Hafez Sabri untuk memohon maaf kepadanya atau berdepan tindakan saman.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah Perak Mohd Fitri Asmuni berkata Asmuni difitnah dalam kes kontroversi sambutan tahun baru Cina dan persembahan tarian naga di sebuah surau di Ipoh pada 1 Februari lalu.

"Dalam kenyataan tersebut, Mohd Hafez telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Asmuni merangkap exco agama negeri Perak.

"Kenyataan itu mendakwa kononnya Asmuni senyap dan tidak berbuat apa-apa tindakan dengan program tersebut.

"Walhal Jabatan Agama Islam Perak (JaiPk) telah pun bertindak sejak 31 Januari lagi dengan bertemu pengerusi jawatankuasa surau tersebut dan pada 5 Februari, pengerusi surau tersebut telah pun memohon maaf," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Mohd Fitri berkata kenyataan dipertikai itu dimuat naik di Facebook Mohd Hafez pada 4 Februari berkaitan acara di surau Al-Qomar di Taman Pengkalan Utama pada 1 Februari.

Ia antaranya dihadiri oleh exco negeri Dr Abdul Aziz Bari dan ahli parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Pada program tersebut, antara lain berlangsungnya tarian naga dan pembakaran mercun yang dikatakan mencetuskan rasa tidak selesa sesetengah masyarakat di sekitar surau tersebut.

Mohd Fitri berkata, kenyataan pemimpin PAS itu mengelirukan orang awam terutamanya orang Melayu dan Islam serta institusi diraja yang menjadi penaung kepada agama Islam.

Jelasnya, kenyataan tersebut adalah pembunuhan karakter terhadap Asmuni untuk memberi gambaran buruk seolah-olah exco agama itu berat sebelah, gagal bertindak dan tidak sensitif terhadap agama Islam.

"Sehubungan itu saya mewakili Asmuni memberi tempoh selama tujuh hari bermula hari ini kepada Mohd Hafez supaya membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Kita juga meminta supaya kenyataan berbaur fitnah tersebut ditarik balik. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil," katanya.

Lihat Komen