malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Adun DAP hilang kerusi Pujut
Diterbitkan:  Feb 11, 2020 11:20 AM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Adun DAP, Dr Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat Pujut.

Menurut akhbar Borneo Post, dalam penghakiman majoriti 7 berbanding dua, mahkamah itu mengketepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengembalikan semula Dr Ting sebagai Adun Pujut.

Di sebalik keputusan mahkamah hari ini, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana lebih tiga tahun sudah berlalu sejak pilihan raya negeri terakhir diadakan.

Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah berkenaan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Dr Ting sebelum ini dilaporkan mempunyai dua kerakyatan meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Panel sembilan hakim itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah dan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Abdul Rahman Sebli, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan di DUN Sarawak kerana beliau didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Dr Ting memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Lihat Komen