malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS bincang usul undi percaya PM dengan Umno esok
ADS

Usul undi percaya yang mahu dibawa PAS ke Dewan Rakyat untuk menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meneruskan kepemimpinannya sehingga habis penggal, akan dibincangkan dengan Umno malam esok.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn hari ini.

Mengulangi kenyataannya semalam, Tuan Ibrahim berkata PAS memandang ada keperluan usul itu dibawa ke parlimen memandangkan berlaku ketidakstabilan politik dalam negara ekoran perselisihan tentang peralihan kuasa perdana menteri dalam kerajaan PH.

“Sebagaimana yang disebut Tun Mahathir, ahli parlimen menentukan sama ada dia perlu terus atau dia perlu serah (jawatan),” katanya.

Bagaimanapun, ketika disoal pemberita adakah itu bermaksud PAS belum pernah membincangkannya dengan Umno sebelum mengumumkan tentang usul itu semalam, beliau menjawab “belum pernah”, tetapi menjelaskan idea mengenainya telah dinyatakan secara terbuka oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional bakal bertemu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8 malam esok bagi membincangkan perkara tersebut.

Semalam, Tuan Ibrahim dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan 18 anggota parlimen PAS akan membawa usul berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac depan, memandangkan pihak yang sebelum ini “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri tidak membawa usul undi tidak percaya di parlimen.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula berpendapat PAS mempunyai hak membawa usul berkenaan, tetapi berpendirian bahawa Umno tidak perlu “busybody” (menyibuk) dengan masalah yang dihadapi PH.

Dr Mahathir dalam wawancara bersama The Malaya Post yang disiarkan semalam, mengulangi komitmennya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim seperti yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata ia terpulang kepada suara majoriti dalam Dewan Rakyat kerana ahli-ahli Dewan Rakyatlah yang “sebenarnya berkuasa.”

Pemberita pada hari ini juga menyoal Tuan Ibrahim mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa usul undi percaya tidak boleh dibawa oleh parti pembangkang.

Menjawab soalan itu, timbalan presiden PAS berkata usul berkenaan adalah usul persendirian dan boleh dibawa oleh mana-mana anggota parlimen serta terpulang kepada speker Dewan Rakyat sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Apabila diasak pemberita yang bertanya jika PAS akan tetap membawa usul berkenaan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada Umno dalam mesyuarat malam esok, Tuan Ibrahim mengelak memberi jawapan langsung.

Sebaliknya, beliau hanya mengulang kenyataan bahawa usul berkenaan bersifat persendirian, berkata, “kita akan tengok, kita akan bincang.”

Lihat Komen