malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Koronavirus: Imigresen keluar pas khas pada pelancong China masih di Malaysia
ADS

Pelancong warga China yang masih berada di Malaysia kerana mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini, akan diberikan pas khas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Khairul Dzaimee Daud, berkata pas khas itu hanya boleh diperoleh selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China susulan sekatan perjalanan dikenakan ke atas pelawat China, dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, susulan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

“Bagi pelancong yang masih berada dalam negara ini, visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar.

“Berkuat kuasa 27 Jan lepas, mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat JIM bersama tiket penerbangan keluar dan mendapatkan perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah pangsapuri di Ara Damansara di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerima pas khas itu akan diberi tempoh 14 atau 30 hari untuk berada di di negara ini mengikut tarikh penerbangan keluar.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata sekatan perjalanan ke Malaysia yang dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk oleh kerajaan China.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah larangan keluar masuk.

-Bernama

Lihat Komen