malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas hakim bingung mengapa polis tak tangkap bekas suami Indira
ADS

Seorang bekas hakim menggesa polis mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan dengan menahan Muhammad Riduan Abdullah, bekas suami M Indira Gandhi.

Katanya, ini terutamanya apabila Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengaku mengetahui di mana lokasi lelaki itu berada.

Bercakap pada satu majlis di Selangor Bar petang ini, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mah Weng Kwai berkata beliau "bingung" apabila mengetahui polis 'secara lembut' meminta Riduan pulang.

"Saya bingung kerana kamu ada suatu perintah Mahkamah tertinggi di negara ini dan perintah itu kepada polis untuk mencari orang ini, dan lebih-lebih lagi jika kamu tahu di mana dia.

"(Tetapi kamu) tak cari dia dan mula cakap pasal rundingan. Saya tak faham sebab ini.

"Kecuali mereka fikir kes menghina (mahkamah ini) tidak ada kena mengena dengan liabiliti jenayah, (bahawa) ia adalah kes sivil yang kamu boleh runding.

"Saya tak fikir ia perkara betul untuk dilakukan, "katanya semasa segmen soal jawab.

Seorang hadirin bertanya kepadanya mengenai kesugguhan politik Pakatan Harapan untuk menyelesaikan kes-kes seumpama itu sejak mengambil alih kerajaan.

Indira dan Riduan (dahulunya dikenali sebagai K Pathmanathan) terlibat dalam perebutan hak penjagaan selepas Riduan menukar agama kepada Islam dan melarikan diri dengan anak perempuan mereka, Prasana Diksa pada tahun 2009.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah mandamus agar polis mengambil Prasana daripada bapanya.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu dan mengarahkan Ketua Polis Negara menahan Riduan.

Minggu lepas, Hamid mendedahkan bahawa beliau tahu di mana Riduan dan secara terbuka menggesa lelaki itu keluar dari tempat persembunyian.

Sambil menegaskan bahawa pasukannya sedang bekerja keras menyatukan kembali Indira dengan Prasana, Hamid berkata beliau berharap kes itu "berakhir dengan kegembiraan" dan mewujudkan penyelesaian "menang-menang".

Mengulas lanjut, Mah tidak bersetuju dengan Hamid yang mengatakan mahu penyelesaian secara baik bagi pihak-pihak yang terlibat.

"Apa yang kamu maksudkan dengan situasi menang-menang?

"Jika kamu langgar undang-undang, tiada kemenangan untuk kamu. Kamu kalah! Ia semudah itu, "katanya merujuk kepada Ridhuan.

Kenyataan Abdul Hamid juga menimbulkan kemarahan Indira, yang mempersoalkan kelewatan polis dalam menyerahkan Prasana kepadanya dan mengancam memfailkan saman sebanyak RM100 juta.

Kumpulan masyarakat sivil dan Majlis Peguam turut menggesa Ketua Polis Negara mempercepatkan penahanan Riduan.

Hamid bagaimanapun menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan kes berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk menyelesaikannya.

Terdahulu, Mah yang juga Pesuruhjaya Suhakam memberikan ceramah bertajuk "Kehilangan Paksa: Raymond Koh dan Amri Che Mat".

Beliau mempengerusikan siasatan awam suruhanjaya itu dalam kedua-dua kes berkenaan, yang mendapati polis Cawangan Khas bertanggungjawab bagi kehilangan paksa mereka.

[Baca berita asal]



Lihat Komen