malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IGP: Berhenti politikkan isu Indira Gandhi, saya ikhlas mahu selesaikan kes
ADS

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta semua pihak berhenti mempolitikkan isu M Indira Gandhi yang dipisahkan daripada anak perempuannya Prasana Diksa.

Ia susulan tekanan pihak-pihak tertentu terhadap polis untuk menangkap bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan Prasana kepada ibunya, selepas Abdul Hamid mendakwa bahawa bahawa beliau tahu lokasi Muhammad Riduan.

"Di Malaysia ni orang mati pun dipolitikkan. Semua nak dipolitikkan. Di mana maruah kita?

"Kita sedap bercakap ini hukumnya, di pihak sana (bercakap) dengan human rightnya (hak asasi), tp kita fikir tak kebajikan keluarga?

"Kita seronok pasal isu ini sebab kita dapat score political point (modal politik), kita dapat dilihat jaguh agama, jaguh NGO.

"Tolong berhenti pentingkan diri sendiri, Percayalah, saya ikhlas nak bantu (menyelesaikan kes Indira). Jadi jangan dipolitikkan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Mengulas mengenai pendedahan beliau pada minggu lalu bahawa beliau tahu lokasi Muhammad Riduan, Hamid berkata apa yang penting ialah usaha untuk menyelesaikan kes itu.

"Saya punyai maklumat-maklumat tertentu tapi saya tak boleh kongsi (sepenuhnya). Masyarakat tetap desak nak tahu, dan saya tak boleh elak dengan cara berdiam diri.

"Saya terpaksa dedah sikit, bila saya kata saya tahu, bukan saya tahu dia duduk kat lokasi (spesifik). Saya tahu dia berada di mana, tak semestinya dia berada dalam negara ini, jadi fahamlah kat situ," katanya.

Hamid menambah: "Yang penting ada perasaan ingin segera selesaikan masalah ini, bersangka baik supaya masalah ini dpt diselesaikan kerana apabila dua keluarga terpisah, yang jadi mangsa adalah anak," katanya.

Susulan pengakuan Abdul hamid bulan lepas, peguam Indira, Rajesh Nagarajan berkata rencana untuk menyaman Hamid dan polis mungkin dipercepat.

Dia menuduh ketua polis negara itu menghina mahkamah kerana gagal menjalankan perintah Mahkamah Persekutuan untuk menangkap Muhamad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya walaupun mengetahui lokasi Muhamad Riduan.

Muhamad Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, mengambil Prasana pada 2009 apabila dia berusia 11 bulan, tidak lama selepas memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan IGP Khalid Abu Bakar untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan semula perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dua tahun lebih awal untuk mendapatkan semula Prasana.

Perintah mandamus adalah perintah mahkamah yang memaksa seorang pegawai kerajaan untuk memenuhi kewajipan rasmi mereka.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama Prasana dan dua adik beradiknya kepada Islam.

Lihat Komen