malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mengapa ada mangsa rogol tak melawan, kekalkan hubungan dengan pelaku
ADS

Nina kekal menjadi pasangan tarian kepada jurulatih tarinya, setelah setahun dia berkata dirogol lelaki itu pada 2017.

Dia mengekalkan hubungan dan membalas pesanan teks seperti biasa, dan mengikutinya ke festival tarian di luar negara. Di sana, mereka berkongsi bilik hotel yang sama.

Nina berkata dia bimbang berkongsi bilik tetapi terpaksa akur kerana itu saja pilihan yang diberikan penganjur festival.

Sepanjang festival dia kekal berjaga-jaga, mengelak apabila lelaki itu cuba menciumnya, dan tidak meminum alkohol dan kekal berjaga agar jurulatih itu tidak menyerangnya ketika dia tidur.

Tetapi keputusannya untuk kekal menjadi pasangan tari dan kawan, serta keputusan untuk ke luar negara selama beberapa hari dengannya antara isu yang diteliti polis apabila dia membuat laporan pada 2017.

Akhirnya polis menyimpulkan hubungan seks yang berlaku sebagai "sukarela".

Nina adalah nama samaran yang digunakan untuk melindungi identitinya. Malaysiakini juga tidak menyatakan identiti jurulatih tari itu. Dia tidak memberi maklum balas apabila dihubungi Malaysiakini.

Tiada reaksi yang betul

Kelakuan pengadu dalam kes serangans seksual sering diteliti untuk mengesahkan dakwaan rogol, tetapi pakar psikologi Vizla Kumaresan (gambar) berkata pihak yang membuat siasatan mungkin tersilap pandang.

Ada salah tanggapan bahawa reaksi yang "betul" ialah untuk berasa takut yang amat sangat terhadap pelaku, tetapi tiadak satu cara yang khusus untuk menunjukkan rasa trauma, kata Vizla.

Dia berkata bukan "abnormal" untuk mangsa mengekalkan hubungan dengan pelaku seperti biasa, terutama jika pelaku itu seorang yang dikenali dan rapat dengan mereka.

"Sukar untuk mereka menerima perkara buruk ini terjadi kepada mereka dan dilakukan oleh orang yang dirasakan baik dan dihormati.

"Dari perspektif mangsa, selepas insiden traumatik, amat biasa untuk mereka menjadi keliru dan tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku. Jadi mereka fikir dengan berkelakuan biasa, keadaan akan okey," katanya.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Sumitra Visvanathan, berkata sering kali reaksi mangsa mungkin tampak bertentangan dengan intuisi di mata pemerhati luar.

"Ini mungkin mekanisme untuk menghadapi apa yang berlaku, sebagai respons kepada kejutan dan trauma serangan seksual.

"Mereka (mangsa) mungkin juga cuba mewujudkan semula keadaan normal dan maka mungkin masih mengekalkan hubungan dengan pelaku," katanya lagi.

 Salahkan diri sendiri

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), "majoriti besar" kes rogol dilakukan oleh mereka yang dikenali mangsa, dengan kajian PBB di Eropah mendapati 67 peratus perogol adalah orang yang dikenali mangsa.

Tiada data untuk kes di Malaysia, tetapi WAO menganggarkan kira-kira 80 peratus mangsa yang mendapatkan bantuannya berkata mereka diserang oleh orang yang dikenali.

Mengambil pengalaman berhubung dengan mangsa di klinik trauma dan pusat perlindungan keganasan rumah tangga, ahli psikologi Ng Siew Li berkata "tidak pelik" untuk mangsa cuba "menjelaskan" serangan sebagai peristiwa "one-off" atau menyalahkan keadaan.

Mereka juga mungkin menyalahkan diri sendiri untuk percaya bahawa perkara itu adalah sesuatu yang boleh mereka kawal, katanya.

"Jika anda percaya anda ada kawalan, anda akan percaya mampu menghalangnya daripada berulang," katanya lagi.

Menurut Nina, bertahun selepas kejadian, dia tidak mahu mengakui bahawa telah dirogol kerana takut dengan kesannya.

"Jika saya akuinya, saya perlu lakukan sesuatu tentangnya," katanya.

Jurulatih tari itu turut memberitahunya bahawa itulah kali pertama perkara seumpama itu berlaku.

Tetapi dua tahun kemudian, dia dpaat tahu ada penari lain yang didakwa diserang dengan cara yang sama. Ia menyebabkan Nina membuat laporan terhadap kejadian yang menimpanya.

 Beberapa penari yang berkata mereka dirogol jurulatih itu pada Julai 2019 turut membuat laporan polis.

Siasatan untuk insiden itu masih tidak selesai.

Kajian: Mangsa rogol alami 'paralisis'

Susulan laporan itu, jurulatih tersebut direman selama tujuh hari. Ia menyebabkan kejutan dalam komuniti tarian di mana lelaki itu sangat dihormati.

Beberapa penari yang terlibat memberitahu Malaysiakini, ada anggota komuniti tersebut mempersoalkan mereka mengapa tidak menghentikan serangan terhadap mereka.

"Selain kelakuan selepas serangan, bukti penentangan ketika serangan turut diteliti untuk menentukan sama ada keizinan diberikan kepada pelaku.

Bagaimanapun, kajian terhadap 298 mangsa serangan seksual di Sweden mendapati sehingga 70 peratus mangsa berasa "lumpuh" ketika serangan.

Penyelidik menyifatkannya sebagai "kekakuan tonik" (tonic immobility), satu kelakuan yang turut dilihat pada haiwan yang berdepan situasi bahaya.

Kajian sebelum ini mendapati dalam diri manusia, perasaan terpisah dengan badan, katatonik (kegagalan atau keganjilan dalam pergerakan akibat fikiran terganggu), kegagalan bergerak boleh berlaku ketika berdepan ancaman melampau.

Di Brazil, kajian terhadap 3,231 mangsa peristiwa traumatik mendapati kejadian kekakuan tonik hampir dua kali ganda di kalangan mangsa keganasan seksual berbanding jenis trauma yang lain.

 Hormon halang buat keputusan

Ng berkata banyak bahan bacaan tersedia berkenaan reaksi biologi di saat trauma, tetapi dapatan mungkin tidak diketahui secara meluas, termasuk di kalangan penyiasat dan pendakwa serangan seksual.

Katanya, apabila berdepan keadaan yang sangat menekan, minda dibanjiri hormon sebagai bentuk mekanisme pertahanan, pada masa sama hormon itu memberi kesan di bahagian otak yang mengawal kemampuan membuat keputusan.

"Kekakuan" yang dialami mangsa trauma terzahir dengan cara berbeza, katanya lagi.

Menurut Ng (gambar, bawah), ia boleh berlaku ketika serangan berlaku, di mana mangsa berkata dia tidak boleh bertindak atau bergerak, atau selepas serangan apabila fikiran "menjadi kosong dan tidak mampu menghasilkan sebarang bentuk pilihan" atau membuat keputusan rasional.

"Ada orang selepas (kejadian) berkata 'Saya boleh buat tindakan itu, kenapa saya tidak lakukannya?' Pada saat tertentu, otak kita mungkin tidak mampu bertindak sedemikian ketika ia berlaku," katanya.

katanya lagi, kebanjiran hormon turut memberi kesan kepada kemampuan mengingat.

"Ada proses berbeza dalam pembentukan memori, sama seperti bagaimana anda menyimpan fail dalam komputer. Apabila minda dibanjiri hormon tertentu, proses itu terganggu maka tidak pelik apabila memori (insiden traumatik) tidak lengkap," katanya.

Katanya, ia bertentangan dengan keyakinan sesetengah penyiasat bahawa ketidakmampuan mengingat semula perincian kejadian menandakan pengadu tidak berkata benar.

Pakar psikologi berpandangan penyiasat dan pendakwa perlu dilatih dengan lebih baik untuk memahami kesan trauma kepada minda, dan bagaimana setiap kes kesan itu berbeza.

Vizla berkata dalam beberapa kes, mangsa mungkin tampak patuh secara tidak rasional atas faktor dinamik kuasa dalam hubungannya dengan pelaku, di mana mereka mungkin dibentuk untuk bergantung kepada penilaian dan pengesahan pelaku.

Ia boleh menghalang mereka daripada memberikan penentangan ketika serangan, atau malah untuk bersuara sebaik selepas ia berlaku, katanya lagi.

"Apa yang berlaku antara pelaku dan mangsa selepas insiden bukan petanda sama ada rogol berlaku atau tidak. Keizinan berlaku sebelum kegiatan seksual, bukan apa yang berlaku selepas itu," katanya lagi.

Bahagian 1: Pengajar tarian didakwa rogol pelajar

Bahagian 2'Pemujaan idola guru tarian membawa serangan seksual'

Lihat Komen