malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan dakwa tuduhan kaitan dengan LTTE hanya boleh dibuat di bawah Amla
ADS

Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis berkenaan penolakan mahkamah terhadap permohonan ikat jamin Adun Gadek G Saminathan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) atas dakwaan berkaitan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam membuat laporan itu, P Thiagarajan mendakwa LTTE walaupun dimasukkan dalam senarai di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla), ia tidak diklasifikasikan sebagai "kumpulan pengganas" di Malaysia.

“LTTE hanya diwartakan sebagai kumpulan di bawah Amla.

“Maka seseorang hanya boleh dituduh memiliki kaitan dengan LTTE jika memberi sumbangan kepada aktiviti yang bersabit dengan kumpulan itu yang telah pun tidak aktif sejak 2009,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sidang media itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ikat jamin Saminathan pada minggu lalu.

Antara sebab yang diberikan hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh ialah status LTTE sebagai "pertubuhan pengganas" berdasarkan Amla dan ia relevan kepada dua pertuduhan terhadap Saminathan, iaitu sokongan kepada LTTE dan memiliki barang yang berkaitan dengan kumpulan itu.

"...Bergantung kepada pembuat dasar (berkenaan status LTTE) dan mahkamah tidak akan menceroboh bidang kuasa itu," kata Ahmad Shahrir dalam keputusannya.

Saminathan antara 12 individu yang ditahan polis atas dakwaan berkaitan LTTE tahun lalu.

Thiagarajan, atau lebih dikenali sebagai Oms Thiagarajan, turut membangkitkan ketiadaan tindakan terhadap sebuah NGO tempatan yang menurutnya didakwa oleh kerajaaan Sri Lanka mempunyai kaitan dengan LTTE.

Dia mendakwa NGO itu, Tamil Forum Malaysia, pernah mengutip dana di Malaysia untuk LTTE.

"Laporan portal The Sunday Leader bertarikh 1 Jun 2014, mendakwa bahawa Tamil Forum Malaysia merupakan jaringan LTTE di Malaysia. Artikel tersebut juga dimuat naik dalam laman web milik kerajaan Sri Lanka," dakwanya.

Sementara itu, peguam Saminathan, Saraswathy Kandasamy berkata pihaknya sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan penahanan terhadap 12 individu terbabit.

"Perdana menteri kata beliau puas hati dengan bukti yang ditunjukkan polis. Kini kami ada banyak bukti bahawa pihak polis salah guna kuasa dalam penahanan mereka, dan perlu diberi peluang menjelaskannya," katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Adun Sabai D Kamathchee, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dan anggota keluarga 12 tahanan tersebut.

Lihat Komen