malaysiakini logo
story-image
ADS

Nota Editor: Pejabat Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mengatakan urus niaga AirAsia-Airbus adalah bayaran 'offset' apabila beliau mengatakan "bayaran offset bukan rasuah".

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulas isu membabitkan AirAsia selepas syarikat penerbangan tambang murah itu terpalit dalam dakwaan rasuah bernilai RM240 juta yang melibatkan Airbus.

Pada sidang akhbar di Putrajaya, Mahathir berkata bahawa tindakan memohon offset dalam pemerolehan bukanlah rasuah selagi wang itu tidak masuk ke poket peribadi.

Beliau juga berkata adalah menjadi "amalan" kerajaan untuk meminta offset dalam tawaran permerolehan.

“Saya dengar tuduhan bahawa AirAsia terlibat dengn rasuah, tetapi saya tak berani nak buat keputusan.

“Tetapi biasanya apabila kerajaan pun membeli peralatan kita selalu minta apa ni, offset, umpamanya bila kita beli kapalterbang kita minta offset samada kita anggap offset itu sebagai rasuah atau tidak, terpulang.

“Tetapi bagi saya, kalau kita boleh dapat sesuatu kerana kita beli suatu dengan harga yang tinggi, kita tidak boleh terima.

“Kalau duit yang kita dapat itu masuk poket kita itu rasuah tetapi kalau duit itu adalah untuk tujuan tertentu, dia menjadi offset, bukan rasuah,” katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan amanat kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, hari ini.

Akhbar The Telegraph dari UK melaporkan bahawa Airbus membayar AS$50 juta (RM205 juta) dan menawarkan AS$55 juta lagi untuk menaja pasukan sukan yang dikaitkan dengan dua "pembuat keputusan utama" di AirAsia dan AirAsia X.

Dakwaan rasuah itu berlaku antara 2011 dan 2015.

SPRM sedang menyisat eksekutif kanan AirAsia dan AirAsia X kerana didakwa menerima rasuah dari Airbus.

Sementara itu, harga saham AirAsia melonjak pada dagangan sebelah petang berikutan kenyataan perdana menteri.

Ia diniagakan RM1.189 sesaham pada waktu rehat tengah hari, tetapi meningkat kepada RM1.232 sesaham apabila dagangan disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Lebih 354,667 unit saham diniagakan kira-kira 15 minit selepas dagangan disambung semula.

Harga saham ditutup pada RM1.230 sesaham apabila pasaran ditutup pada hari ini.

Sementara itu, saham bagi AirAsia X terus meningkat dan ditutup pada RM0.130 sesaham, berbanding RM0.120 sesaham pada pembukaan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa harga saham untuk AirAsia dan AirAsia X menjunam apabila pasaran dibuka semula pada Isnin, selepas dakwaan rasuah itu didedahkan pada hujung minggu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen