malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nizar terlampau angkuh, tiada tolak ansur - Razman
ADS

Selepas cek bayaran ganti rugi saman ditolak, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menempelak Timbalan Pengerusi Amanah negeri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Adun Gunong Semanggol itu menyifatkan penolakan Mohammad Nizar menunjukkan sikap angkuh pemimpin Amanah itu.

"Apabila dia tolak itu menunjukkan dia terlampau angkuh, tak ada sikap bertolak ansur langsung.

"Cek yang saya beri itu bukan tertangguh sehingga setahun, cuma lima hari. Bukan lama pun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Razman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai penolakan Mohammad Nizar terhadap cek tertangguh bertarikh 10 Februari 2020 bagi bayaran kos ganti rugi saman yang mahu diserahkan pagi tadi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Razman menghantar wakil dengan sekeping cek bernilai RM254,150 kepada peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni.

Namun kata Mohd Fitri anak guamnya menolak cek tersebut kerana berstatus cek tertangguh dan bukan cek semasa.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya akan meneruskan bayaran berkenaan melalui cek yang sama pada 10 Februari nanti.

"Tak apalah dah dia tak mahu terima, kita nak buat macam mana. Saya tetap akan terus bayar dengan cek yang sama 10 Februari nanti.

"Kalau bawa ke mahkamah pun, kalau saya kata hanya mampu bayar RM10 sebulan dia nak kata apa," ujarnya.

Lihat Komen