malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nizar arah peguam segerakan tindakan muflis pada Razman
ADS

Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengambil tindakan segera bagi mengisytiharkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, sebagai individu muflis.

Peguamnya, Mohd Fitri Asmuni, berkata langkah itu diambil susulan kenyataan Razman sendiri yang mengakui beliau tidak mempunyai kemampuan untuk membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah kepada Mohammad Nizar.

"Saya diarahkan untuk teruskan dengan tindakan kebankrapan dalam tempoh segera," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Razman yang juga Adun Gunung Semanggol sepatutnya membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas disabitkan bersalah memfitnah Mohammad Nizar.

Fitnah tersebut dibuat melalui kenyataan yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Jun 2015 melalui rencana bertajuk "Pendekatan Nizar mirip DAP".

Namun, Razman gagal membayar dalam tempoh ditetapkan malah menegaskan tidak mempunyai kemampuan kewangan untul berbuat demikian.

"Nak buat macam mana dah tak ada duit, tapi hutang tetap kena bayar. Saya akan bayar tapi tak tahu bila lagi," katanya.


Baca 'Mahkamah dunia, tak apalah...'


Mohd Fitri juga berkata, tiada lagi peluang atau lanjutan waktu dapat diberikan kepada bekas bendahari PAS Pusat itu.

"Kes mula di mahkamah sesyen, dia rayu ke mahkamah tinggi dan berakhir di mahkamah rayuan. Dah berakhir.

"Sekarang masuk peringkat lain pula iaitu peringkat pelaksanaan. Kalau dia nak lawan proses kebankrapan pun hanya secara teknikal saja," jelasnya.

Untuk rekod, jika disabitkan muflis, Razman boleh hilang kelayakannya sebagai Adun.

Lihat Komen