BERITA

Lokman malu Umno dipimpin 'presiden lemah'

3 2月 2020, 1:58 下午

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam hari ini tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang 'presiden yang lemah' dan tiada jati diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Lokman turut mengepil petikan rakaman audio sepanjang tiga minit 18 saat, yang didakwanya diucapkan Ahmad Zahid ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno hari ini.

Antara lain, petikan audio itu menyatakan bahawa bersandarkan Muafakat Nasional, Umno perlu mengikut tindakan PAS "supaya tidak tertinggal di belakang", selain bagi menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

“Bagaimana pula dgn nasib bossku (Najib Razak)? Adakah lebih mudah untuk kita menyelesaikan masalah bossku bila kita bersama-sama dengan PAS, atau dalam satu organisasi yang kita boleh membuat keputusan?

“[...] Kalau (Umno) diharamkan ada di kalangan kita mengatakan, Oh kita ada organisasi lain yang kita boleh bergerak. Oh kita ada PAS. Ada di kalangan ahli-ahli Parlimen pun kata kita nak masuk PAS. Eh, PAS dah masuk sanalah,” kata petikan audio itu lagi.

Bagaimanapun, petikan audio itu tidak ada menyebut langsung nama “Mahathir” atau “PH” secara spesifik.

Bantah Lokman, Ahmad Zahid sengaja mempergunakan nama Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Najib bagi menghalalkan tindakannya yang dakwa Lokman, hanyalah demi mendapat hukuman lebih ringan terhadap pertuduhan yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Lokman turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dikatakan mahu “tunduk” dan bekerjasama dengan Mahathir, sedangkan katanya, Mahathirlah yang mahu mengharamkan Umno dan membekukan akaun Umno.

“Jika ini sahaja yang mampu Zahid lakukan, maka sewajarnya beliau melepaskan jawatan beliau sebagai Presiden Umno.

“Lebih baik buat pemilihan semula sekarang supaya ahli ada hak untuk memilih pasukan yang mahu menentang Mahathir atau pasukan yang mahu berkerjasama dengan Mahathir,” katanya.

Malah, dakwa Lokman, sekiranya Umno diharamkan supaya membolehkan “penyokong Hishammuddin (Hussein) dan Zahid menyertai Mahathir”, beliau yakin lebih 90 peratus ahli Umno akan mengikut Najib untuk mengambil alih parti lain.

Dia turut berkata bahawa sebarang usaha untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang atau gabungan dengan mana-mana parti sebelum pilihan raya umum ke-15 wajib mendapat kelulusan ahli akar umbi melalui Perhimpunan Agong Khas.

“Tindakan Zahid ini jelas telah melanggar disiplin parti dan mengenepikan suara akar umbi Umno,” tambahnya lagi.

Laporan Berkaitan