malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
J'kuasa protem majlis media tambah anggota, tumpu rangka RUU
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 1:31 PM
Dikemaskini: 5:31 AM
ADS

Jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia, yang mengadakan mesyuarat pertamanya pada 30 Januari lalu, setuju untuk menambah keanggotaannya.

Dalam kenyataan hari ini, pengerusi jawatankuasa protem Premesh Chandran berkata ia untuk memastikan pemegang taruh utama terlibat dalam merangka rang undang-undang majlis media.

Anggota baru majlis itu ialah PC Liew dari Media Chinese International Group, pengarang kumpulan NSTP Lokman Mansor, pensyarah University of Nottingham Prof Zaharom Nain, naib presiden NUJ Farah Marshita Abdul Patah, presiden Persatuan Wartawan Sabah Muguntan Vanar, presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak Jacqueline Radoi David dan wakil Sabah dan Sarawak, SS Yoga.

Premesh berkata jawatankuasa protem mengadakan perbincangan sihat berkenaan cadangan penubuhan majlis media serta undang-undang yang perlu dipinda atau dimansuh agar majlis itu dapat berfungsi dengan efektif.

Katanya, perbincangan turut menumpukan cara untuk mengambil kira kepentingan pelbagai pemegang taruh, termasuk industri media, wartawan, kerajaan dan orang awam.

"Jawatankuasa mengakui perspektif berbeza di kalangan pemegang taruh dan pada masa sama menegaskan semua pihak menyokong industri media yang bebas, bertanggungjawab dan profesional," katanya lagi.

Premesh yang juga CEO Malaysiakini, berkata jawatankuasa setuju untuk bekerja ke arah rangka undang-undang yang meliputi prinsip berikut:

  • Skop majlis media perlu meliputi semua bentuk media termasuk bercetak, penyiaran dan atas talian, serta meliputi media milik kerajaan dan juga swasta.
  • Majlis media tidak merangkumi ucapan individu di blog atau media sosial, dengan undang-undang sedia ada sudah memadai.
  • Penyertaan dalam majlis media adalah secara sukarela atau pilihan, tiada insentif atau manfaat untuk industri media menyertainya.
  • Undang-undang yang mengekang kebebasan media atau amalan kewartawanan yang baik akan dimansuh.
  • Majlis media akan ada tatalaku untuk media serta prosedur rungutan atau aduan yang wajar.
  • Majlis media juga akan melihat aspek kemapanan keseluruhan industri media, menambah baik standard kewartawanan dan celik media.

Menurut Premesh, pelbagai subjawatankuasa telah dibentuk untuk membangunkan prinsip-prinsip di atas dan membuat laporan kepada jawatankuasa protem, yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan penubuhan majlis itu pada 16 Januari lalu.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Chamil Wariya dan Yong Soo Hong daripada Malaysian Press Institute (MPI) dan Pengerusi National Press Club Ahirudin Attan.

Selain itu, jawatankuasa turut disertai wakil Gerakan Media Merdeka (Geramm), Journalists Alliance, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) and seorang wakil dari Sabah dan Sarawak.

Turut serta ialah NGO Pusat Kewartawanan Bebas dan pelbagai pemilik media.

Lihat Komen