malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua pemuda PAS pertahan pembelian Mercedes
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 8:43 PM
Dikemaskini: 1:28 PM
ADS

Ketua Pemuda PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin hari ini mempertahankan langkah dilakukan kerajaan Kelantan untuk membeli kenderaan mewah Mercedez Benz.

Khairil berkata, pembelian kereta bagi kegunaan rasmi pimpinan negeri itu merupakan satu keperluan selepas 10 tahun kenderaan sedia ada digunakan.

Jelasnya, seperti yang diselaraskan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menetapkan setiap 10 tahun kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk untuk menteri besar perlu ditukar baru dan hanya kereta jenama Mercedes Benz ditetapkan untuk kegunaan.

“Kita persetujui keputusan itu kerana perkara ini sudah diputuskan kerajaan negeri sejak 2007 lagi ketika Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar. Pembelian kereta yang tular ini dipersetujui dibeli pada 2018 bukannya baru-baru ini.

“Kami diberitahu, pembelian kereta itu dibuat berperingkat-peringkat sejak 2018 dan kereta terakhir diterima adalah untuk kegunaan Menteri Besar seperti yang heboh diperkatakan itu,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembelian kereta Mercedes Benz oleh kerajaan Kelantan.

Kerajaan negeri yang diterajui PAS menerima kecaman selepas membeli 14 kereta mewah tersebut.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas pemimpin PAS mengecam PH berhubung cadangan kerajaan membeli kenderaan baru Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Antara yang dilaporkan membuat kritikan itu ialah Khairil sendiri.

Pada sidang media yang sama, Khairil berkata, kenderaan model terbaru itu ditempah sejak tahun lalu dan mula digunakan tahun ini.

Beliau juga menafikan harga sebenar kereta tersebut berharga RM700,000 seunit seperti yang diperkatakan, sebaliknya kerajaan negeri membelinya dengan harga lebih murah.

“Jangan ada yang menyatakan pembelian itu daripada duit royalti minyak bernilai RM400 juta. Ia bukan daripada duit berkenaan sebaliknya kerajaan negeri Kelantan mencatatkan lebihan (surplus) perbelanjaan. Malah, RM3.5 juta yang digunakan itu tidak menjejaskan perbelanjaan negeri sebaliknya ada lagi lebihan.

“Harga kereta itu dibeli jauh lebih murah daripada harga pasaran kerana adanya proses bidaan dan perjanjian tertentu antara kerajaan negeri dan penjual.

“Kami yakin dan percaya tidak salah pembelian itu kerana kerajaan negeri mencatatkan lebihan perbelanjaan dan perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat exco kerajaan negeri,” katanya.

Lihat Komen