malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendaftaran pelajar dari Wuhan digantung sementara - Dr Dzulkefly
ADS

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan di wilayah Hubei China di semua institusi pendidikan Malaysia sedang digantung buat sementara waktu kerana wabak koronavirus.

"Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Pelajar-pelajar dari wilayah lain di negara China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi oleh institusi pendidikan yang terlibat," kata Dzulkefly pada sidang media di Putrajaya.

Ditanya jika kerajaan China telah membuat permintaan untuk menghantar warganya yang dijangkiti virus itu kembali ke negara, beliau berkata beliau tidak mempunyai maklumat tentang perkara itu lagi.

Bagaimanapun, kata Dzulkefly beliau diberitahu Malaysia masih dalam proses membawa pulang rakyatnya dari Wuhan.

Buat masa ini, kerajaan Sabah melarang semua penerbangan dari China, yang mendorong Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian menggesa supaya larangan itu dipertimbangkan semula.

Malaysia juga telah menggantung semua kemudahan imigresen untuk warga China yang berasal dari Wuhan dan wilayah Hubei, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk membendung penularan jangkitan coronavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut 213 nyawa di China sebagai darurat global, kerana kes telah pun merebak ke sekurang-kurangnya 18 negara.

Lihat Komen