malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Indira dakwa IGP hina mahkamah, mahu percepat saman
ADS

Peguam M Indira Gandhi menyifatkan kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador yang mengetahui keberadaan bekas suami wanita itu, Muhammad Ridhuan Abdullah sebagai mengejutkan.

Berikutan itu Rajesh Nagarajan berkata hasrat keluarga Indira untuk menyaman Abdul Hamid dan polis sebanyak RM100 juta mungkin dipercepatkan.

Beliau juga mendakwa Abdul Hamid menghina mahkamah kerana gagal melaksanakan perintah Mahkamah Persekutuan untuk menangkap Muhammad Ridhuan dan mengembalikan anak perempuan pasangan itu, Prasana Diksa kepada ibunya walaupun tahu di mana kedua beranak itu berada.

"Arahan dari anak guam kami adalah untuk memfailkan saman sivil terhadap ketua polis negara untuk ganti rugi, disebabkan oleh fakta bahawa anak guam kami telah dipisahkan dari anak perempuannya selama kira-kira 11 tahun.

"Oleh itu, berdasarkan pengakuan IGP, kita mungkin mempercepatkan jadual dan memfailkan saman itu lebih awal daripada apa yang dicadangkan," katanya kepada Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Pagi ini, Abdul Hamid berkata beliau tahu mengenai lokasi Muhammad Ridhuan dan meminta mereka keluar daripada tempat persembunyian.

Muhammad Ridhuan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, melarikan Prasana pada tahun 2009, ketika dia berusia 11 bulan, tidak lama selepas memeluk Islam.

Rajesh berkata Abdul Hamid mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan pada 2016.

"Terdapat satu perintah mahkamah bagi polis untuk melakukan dua perkara. Yang pertama adalah untuk menangkap Pathmanathan (Muhammad Ridhuan).

"Yang kedua adalah untuk mencari Prasana dan menyerahkan Prasana kepada Indira. Walaupun ini perintah mahkamah, kedua-duanya tidak dipenuhi oleh ketua polis negara.

"Selaras dengan pengakuan IGP bahawa dia tahu lokasi individu-individu ini dan tidak mengambil tindakan, ini merupakan penghinaan kepada mahkamah. Ia adalah mengejutkan," katanya.

Rajesh juga mendakwa pihak polis gagal menghubungi Indira dan memberikan maklumat atau butiran terbaru mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mencari anaknya.

'Indira patut tahu terlebih dahulu'

Sementara itu, rakan peguamnya Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata tindakan menghina mahkamah terhadap Abdul Hamid kini sedang dilakukan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut bila permohonan itu akan difailkan oleh kerana perkara itu sedang dikendalikan oleh seorang lagi peguam yang berada dalam NGO Indira Gandhi Action Team (Ingat).

Sachpreetraj juga mengkritik Abdul Hamid kerana mendedahkan yang beliau tahu keberadaan Muhammad Ridhuan dan Prasana kepada media terlebih dahulu dan bukannya kepada Indira.

"Jika ada sesiapa yang berhak mendapat maklumat ini terlebih dahulu, ia adalah Indira Gandhi, bukannya kepada dunia," katanya.

Selain mendedahkan beliau mengetahui lokasi persembunyian Muhammad Ridhuan, Abdul Hamid juga sekali lagi mengatakan beliau mahu mencari penyelesaian secara baik dan mahu kes itu berakhir dengan kegembiraan untuk ibu bapa kanak-kanak itu.

Semalam, peguam Indira mengingatkan Abdul Hamid bahawa tugas beliau adalah menegakkan undang-undang dan bukan menyenangkan hati mana-mana pihak.

Indira dan Muhammad Ridhuan menggunakan saluran undang-undang di mahkamah syariah dan mahkamah sivil, selepas Muhammad menukar agama tiga anak mereka kepada Islam pada tahun 2009.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan akhirnya mengarahkan Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar untuk menahan Muhammad Riduan dan mematuhi perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dua tahun sebelum itu untuk mendapatkan Prasana.

Perintah mandamus adalah perintah dikeluarkan mahkamah kepada pegawai kerajaan untuk  memenuhi tugas rasmi mereka.

Pada bulan Januari 2018, Mahkamah tertinggi itu juga membatalkan penukaran agama Prasana dan dua adik-beradiknya kepada Islam. 

Dua anak Indira kini masih tinggal bersamanya manakala Riduan masih bersembunyi bersama Prasana.

Lihat Komen