BERITA

Dr M mahu sains, matematik diajar dalam bahasa Inggeris semula

31 Jan 2020, 7:23 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mahu pengajaran sains dan matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya semalam, Mahathir berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.

"Geografi dan sejarah boleh diajar dalam bahasa mana-mana tetapi sains dan matematik bukan bidang pengetahuan pribumi, ia berasal dari luar negeri.

"Kebanyakannya sampai kepada kita melalui bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Ini bermakna kita tidak akan mengelirukan orang ramai.

"Kita dapati mereka yang belajar sains dalam bahasa Melayu tidak boleh bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan," katanya.

Video mengenai kenyataan Mahathir pada mesyuarat itu dimuat naik di akaun Youtube rasminya petang ini. Walau bagaimanapun, ia tidak menyebut bagaimana kaedah pengajaran baru itu akan dilaksanakan.

"Pandangan saya tidak selalu popular atau diterima orang ramai, tetapi saya rasa perlu melaksanakan perkara-perkara tertentu demi memastikan anak-anak kita membesar dan mampu mengharungi kehidupan dewasa mereka.

"Itulah tujuan pendidikan," katanya.

Beliau berkata bahawa masalah tertentu timbul daripada hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, tetapi ini juga sesuatu yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

"Malahan, banyak soal pembangunan negara ini didasarkan pada hubungan kerja yang baik antara kaum yang berlainan. Jika negara ini tidak stabil, jika kita berperang, anda boleh melupakan pembangunan," katanya.

Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 semasa kali  pertamanya sebagai perdana menteri.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu seperti PKR.

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2011. Menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.

Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen