malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tok Him terkejut MB Kelantan pakai kereta mewah
ADS

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali menyelar kerajaan PAS Kelantan yang membeli kereta mewah bagi kegunaan menteri besar dan exco ketika rakyat negeri itu masih lagi dihimpit kemiskinan.

Beliau berkata, PAS sebagai parti yang berbicara tentang Islam sepatutnya mengurus tadbir secara Islam seperti mana dilaungkan mereka sebelum ini.

Sebagai anak jati Kelantan, kata Ibrahim beliau terkejut kerana kerajaan negeri sanggup menukar kereta mewah sehingga mencecah hampir RM9 juta.

"Saya terkejut bukan kerana mereka beli kereta, tetapi saya terkejut mereka beli Mercedes dalam keadaan Kelantan masih lagi miskin.

"Tak salah tukar kereta menteri besar, tapi kalau (kereta sedia ada) masih boleh berjalan apa salahnya, kalau kita benar-benar pemimpin Islam.

"Tak boleh ke beli kereta berharga sekitar RM200,000 tak payah besar-besar sampai RM600,000. Besar sangatkah Kota Bharu?" Soalnya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 24 Jan lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.

Beliau berkata penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya penggunaan Mercedes-Benz ini adalah zaman Tok Guru (Nik Aziz) lagi.

"Saya masa itu exco, memang pakai Mercedes-Benz E230. Jadi kita hanya tukar Mercedes lama ke baru.

"Faktornya, seperti saya katakan, iaitu faktor keselamatan itu paling besar. Tak sepatutnya ia jadi isu. Tapi sudah menjadi isu, kita nak kata macam mana," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim mendakwa kemungkinan pembelian kenderaan itu ada agenda tertentu oleh kerajaan negeri untuk membolehkan exco dapat membelinya dengan harga murah memandangkan tempoh kerajaan negeri hanya tinggal tiga tahun lagi.

"Bila kereta hendak dilupus oleh kerajaan negeri, maka ia dapatlah dibeli dengan harga yang murah, dengan harga token," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata beliau turut terkejut dengan keputusan kerajaan negeri meluluskan pemberian khas RM50,000 kepada exco.

Ibrahim berkata walaupun pihak kerajaan negeri mendakwa duit itu akan kembali kepada rakyat, namun beliau mempersoalkan kenapa peruntukan tersebut tidak boleh disalurkan terus melalui wakil rakyat.

"Lagi memeranjatkan saya, exco meluluskan peruntukan untuk exco.

"Jangan perbodohkan kita, kalau betul nak salurkan kepada rakyat, kenapa tidak melalui wakil rakyat," katanya.

Kenyataan Nga 'ugutan pada PM'

Sementara itu, mengulas kenyataan penolong setiausaha agung DAP, Nga Kor Ming bahawa DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah bersifat ugutan terhadap perdana menteri.

"Saya baca artikel itu, saya ketawa besar, sudah jadi kelaziman sekarang ini nak lepaskan diri salahkan media.

"Kalau tak lulus UEC, DAP keluar PH, Dr Mahathir Mohamad boleh hilang jawatan, ini boleh ditakrifkan sebagai satu ugutan kepada perdana menteri," katanya lagi.

Semalam, Nga dilaporkan berkata DAP akan keluar daripada kerajaan PH jika kerajaan PH enggan mengiktiraf UEC.

“Kita malah capai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.

“Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang,” kata Nga kepada Oriental Daily.

Lihat Komen