malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan hantar pulang 14 warga China dari Wuhan, 28 Jan lalu
ADS

Kerajaan menghantar pulang 14 warga China dari Wuhan yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 28 Jan lalu.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan keputusan kerajaan yang menyekat sementara kemasukan warga Wuhan, Hubei ekoran penularan Koronavirus.

"Semalam dilaporkan 28 Jan, ada 14 warga China datang dari Wuhan mendarat di KLIA, tetapi kita telah keluarkan arahan tak boleh mendarat dan dihatar pulang.

"Ini satu SOP (standard prosedur operasi) yang sudah diguna pakai bagi memastikan pembolosan tak berlaku di mana-mana pintu masuk negara," katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Jelas Muhyiddin penghantaran pulang 14 warga China itu setelah Jabatan Imigresen meneliti dokumen perjalanan mereka.

Pada 27 Jan lalu, Putrajaya menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya, susulan penyebaran Koronavirus yang merebak ke banyak negara, termasuk Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan Imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.

Kenyataan itu juga turut memaklumkan kemudahan imigresen berkenaan akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.

"Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya," kata kenyataan itu.

Sehingga kini angka kematian akibat wabak Koronavirus baru di China meningkat kepada 170 orang dengan jumlah kes jangkitan kini mencecah lebih 7,000 di negara itu.

Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di seluruh dunia kini lebih 7,000 orang.

Sebanyak lapan kes Koronavirus dicatatkan di negara ini.

Sementara itu, Muhyiddin mengulas mengenai mesyuarat pengurusan pembangunan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan, soal kebajikan dan aset pasukan keselamatan itu menjadi tumpuan mereka.

Katanya, PDRM memerlukan peruntukan yang lebih besar bagi menambah aset mereka.

"PDRM sepanjang masa dalam situasi keadaan untuk menentukan keselamatan negara terpelihara, maka PDRM memerlukan lebih banyak peruntukan untuk menambah aset yang sebahagian besarnya sudah lama, menjaga kebajikan anggota dan pegawai seperti perumahan dan membaiki lif bangunan, balai baru dan sebagainya," katanya.

Tambah Muhyiddin lagi, kerajaan juga sedang mengkaji penggunaan drone bagi tujuan kawalan sempadan negara termasuk kawasan perairan.

Kajian teliti tentang potensi penggunaan drone untuk memantau kawasan sempadan negara turut dibincangkan di kabinet.

Lihat Komen