BERITA

'Kami tetap di belakang Zuraida'

N Faizal Ghazali

29 Jan 2020, 7:18 pagi

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Akar umbi PKR negeri Kelantan mendesak supaya tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap naib presiden, Zuraida Kamaruddin, yang hadir ke ibu pejabat hari ini bagi menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan oleh Lembaga Disiplin parti.

Ketua Cabang PKR Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir berkata, lebih 20,000 ahli PKR negeri akan menyokong menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

"Tujuan himpunan kita hari ini bagi menzahirkan solidariti terhadap Zuraida apabila beliau dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan lembaga disiplin parti.

"Jadi kami mendesak supaya tiada sebarang tindakan diambil terhadap beliau dan kita melihat tindakan yang diambil oleh lembaga disiplin parti juga merupakan tindakan terpilih," katanya pada sidang media bersama sekitar 150 penyokong di Royal Guest House, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Zuraida menyerahkan surat jawapan kepada notis tunjuk sebab yang dikemukakan lembaga disiplin PKR bertarikh 15 Januari lalu atas dakwaan salah laku termasuk mengeluarkan ucapan berunsur fitnah terhadap kepemimpinan parti dalam satu program di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Surat jawapan itu diserahkan oleh setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad pada jam 12.45 tengah hari di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Ab Aziz yang juga Pengerusi Penggerak Muafakat Nasional Kelantan berkata, parti perlu mengambil kira pengalaman dan sumbangan Zuraida sebelum ini.

"Kami di negeri Kelantan dengan kekuatan lebih 20,000 ahli akan tetap di belakang Zuraida dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti," tegasnya.