Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, mahu semua pengguna media sosial - terutama "pakar separuh masak" - agar berhenti daripada menjadi ejen menakut-nakutkan orang ramai.
Kata Abdul Hamid golongan terbabit giat mengeluarkan pendapat yang dikutip dari tempat lain dan ia tidak disahkan.
"Ramai sangat doktor pakar dalam masyarakat kita ni... pakar yang separuh masak, yang keluarkan pendapat yang dia pick up (petik) di tempat lain yang tidak tahu asal-usulnya.
"Kemudian dia sebarkan sehingga menakutkan orang lain," katanya kepada media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras hari ini.
Terdahulu Abdul Hamid ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak menularkan khabar bohong atau palsu melalui pelbagai wadah, terutama media sosial.
Kegiatan itu semakin ketara ketika negara sedang berdepan dengan risiko penularan wabak koronavirus yang berpunca dari Hubei, China.
Kebanyakan mesej atau laporan itu menyalahkan atau mengkritik kerajaan dan sebahagiannya turut menarik minat personaliti tertentu yang berkongsi laporan tersebut di media sosial.
Tangkap, bawa ke balai
Menurut Abdul Hamid orang ramai perlu yakin kepada langkah dan tindakan serta kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
"Siapalah kita yang pandai-pandai buat kenyataan (kononnya) beribu-ribu orang dah mati.
"Macam mana dia dapat input tu pun saya tak tahu... menakutkan orang!" katanya.
Kata Abdul Hamid berdasarkan data yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan, keadaan masih terkawal.
Menurut beliau ancaman yang berlaku ketika ini belum sampai ke tahap yang boleh menyebabkan panik.
Pada masa sama, Abdul Hamid memberitahu setakat ini ada beberapa orang sedang disiasat kerana disyaki menyebarkan berita palsu dan ada empat orang akan 'dijemput' untuk memberi keterangan bagi membantu polis.
Sementara itu beliau berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman sedang terikat dengan banyak kes yang menghangatkan isu perkauman dan kebencian.
Katanya polis akan segera menangani kes seumpama itu bagi mengekang sebarang kejadian tidak diingini.
Untuk menanganinya, menurut Abdul Hamid, PDRM juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengenal pasti pihak yang menyebarkan ucapan kebencian tersebut.
"Polis akan tangkap dan bawa mereka ke balai, semuanya akan diambil tindakan.
"Yakinlah, saya tidak akan biarkan tidak diambil tindakan," katanya.