malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Landasan kereta api berkembar elektrik Gemas-JB bakal ubah landskap Tampin
Diterbitkan:  Jan 28, 2020 11:50 AM
Dikemaskini: 3:58 AM
ADS

Tampin, sebuah daerah luar bandar yang terletak di selatan Negeri Sembilan, bakal berubah wajah dalam segenap aspek selepas Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sepanjang 192 kilometer dijangka siap menjelang Oktober tahun depan.

Projek landasan yang dijangka akan memulakan operasinya pada 2022 itu dilihat antara projek pemangkin yang mampu memberi rangsangan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di sekitar daerah berkenaan.

Pada ketika ini, Tampin yang memiliki keluasan 85,349.66 hektar, merupakan sebuah daerah luar bandar dan terletak di sempadan antara Negeri Sembilan dan Negeri Melaka serta mempunyai kepadatan penduduk sekitar 94,700 orang, mengikut statistik Taburan Penduduk Negeri Sembilan 2018, yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Terletak lebih 60 kilometer daripada ibu negeri iaitu Seremban, daerah berkenaan yang turut berjiran dengan Segamat, Johor ketika ini dipacu oleh sektor industri kayu, logam, pembuatan makanan serta penternakan yang menjadi sumber kegiatan utama ekonomi masyarakat setempat.

Gemas, pekan kecil di dalam daerah Tampin yang menjadi lokasi pelaksanaan projek berkenaan merupakan kawasan yang akan melalui perubahan paling drastik apabila projek bernilai RM8.9 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan itu siap, menyaksikan landasan itu menghubungkan bandar Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

Pensyarah Kanan (Ekonomi) di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, Dr Jamilah Mohd Mahyideen berkata projek itu merupakan antara projek pelengkap sistem pengangkutan awam darat dan memberi manfaat untuk pembangunan antara bandar.

“Malah ia juga akan meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat setempat. Ekonomi negeri dijangka meningkat dan kerajaan negeri dengan inisiatif serta insentif yang diwujudkan, ditambah dengan kemudahan pengangkutan, akan dapat menarik lebih ramai pelabur.

“Kemudahan infrastruktur adalah antara faktor yang akan dipertimbangkan untuk sesuatu pelaburan dan sudah pasti juga, pendapatan perkapita penduduk setempat dipercayai akan dapat ditingkatkan melalui sektor pelancongan, perniagaan dan hartanah,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Jamilah berkata sektor pelancongan juga adalah antara sektor yang turut menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri, iaitu sekitar 30 peratus.

“Dengan adanya kemudahan pengangkutan yang efisien dan cepat ini, ia akan melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan yang terkenal dengan budaya dan adat pepatih malah kemasukan pelabur juga akan dapat meningkatkan lagi sektor perkilangan dan pembinaan sekaligus akan meningkatkan lagi KDNK negeri,” katanya.

Senada dengan Jamilah, Pensyarah Kanan (Ekonomi) di universiti yang sama, Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata Tampin secara keseluruhan dan Gemas amnya, akan tumbuh sebagai hub pengangkutan yang penting di selatan tanah air, selepas projek landasan berkembar itu siap.

“Malah perniagaan kecil dijangka akan turut tumbuh seperti cendawan selepas hujan untuk memenuhi permintaan daripada pengguna kereta api dari arah Johor Bahru menghala ke utara dan juga sebaliknya, yang menjadikan Pulau Sebang sebagai hub atau terminal pertukaran kereta api.

“Pada masa yang sama, industri seperti perhotelan, pengangkutan juga akan dibawa masuk oleh pelabur bagi memenuhi permintaan,” katanya sambil menambah bahawa projek berkenaan turut memberi impak kepada Melaka dan Johor.

Keterujaan terhadap projek berkenaan turut dikongsi beberapa penduduk yang menyifatkan ia sebagai ‘bakal nadi’ kepada pembangunan dan ekonomi di Tampin.

“Sudah tiba masanya pekan Gemas yang kecil ini menerima suntikan menjadi kawasan yang dilimpahi pembangunan moden dan penambahbaikan infrastruktur dengan adanya projek berkenaan,” kata seorang penjawat awam, Noorlizam Ismail, 49.

Zalika Atira Nik Zahairan, 20, pula mengharapkan kemajuan yang bakal diperoleh daripada projek berkenaan mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekaligus mengelak penghijrahan golongan belia sepertinya ke bandar-bandar besar.

"Golongan belia seperti saya tidak perlu lagi berhijrah ke tempat lain untuk mencari pekerjaan ditambah lagi kos sara hidup di sini yang tidak terlalu tinggi jika dibandingkan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang," kata pekerja swasta itu.

-Bernama

Lihat Komen