malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes di Bintulu: Kementerian tunggu keputusan makmal
ADS

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya sedang menunggu keputusan kajian makmal berkaitan seorang wanita yang disyaki menghidapi koronovirus di Bintulu Sarawak.

Katanya, setelah berhubung dengan pengarah hospital berkaitan, beliau mendapati wanita itu berada dalam keadaan stabil.

Pihak hospital buat masa ini hanya menjalankan rawatan terhadap simptom yang dialami, katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang.

Berkaitan dua kes di Langkawi melibatkan dua kanak-kanak dari China pula, Dzulkefly berkata mereka dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad berasingan.

Keputusan makmal juga masih ditunggu, katanya lagi.

Perkembagan ini menjadikan lima orang disyaki menghidap masalah virus Wuhan, termasuk dua pesakit dari China yang sedang dipantau di hospital di Kuala Lumpur.

Terdahulu Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kes koronavirus baru dikesan di Bintulu, Langkawi dan Kuala Terengganu setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan jika ada kes yang disyaki di hospital di kawasan tersebut.

"Pada ketika ini, tiada kes koronavirus (novel) di Bintulu, Langkawi dan Kuala Terengganu.

"(Berkenaan kes yang disyaki) Tiada koronavirus. Ada bermacam penyakit dirawat di hospital, seperti pnuemonia dan sebagainya.

"Kalau ada kes positif, saya akan memaklumkan," katanya.

Noor Hisham berkata demikian susulan kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak berhubung penyebaran maklumat adasatu kes koronavirus yang disahkan di Hospital Bintulu.

Menurut kenyataan itu, pesakit itu telah diletakkan di wad pengasingan selama 14 hari, bagaimanapun belum ada pengesahan mengenai virus yang dialaminya.

"Sampel darah akan dihantar ke makmal di Kuala Lumpur untuk pengesahan penyakit.

"virus yang dialami pesakit belum dipastikan lagi," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak telah bertindak atas dakwaan tular oleh seorang pengguna Facebook bernama "MarieMar Flp" semalam, bahawa ada kes disyaki koronavirus baru yang dibawa ke hospital.

Siasatan awal mendapati pesakit itu telah dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu kerana mengalami demam panas selepas balik dari Wuhan, China.

Koronavirus mula dikesan di Wuhan yang terletak dalam wilayah Hubei. Setakat ini, virus itu telah mengorbankan 80 nyawa, dengan hampir 2,800 orang dijangkiti di seluruh dunia.

Pesakit itu merupakan wanita warga China berusia 25 tahun, bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah projek loji jana kuasa di Bintulu.

"Pesakit pergi ke Wunan pada 11 Jan atas urusan kerja. Dia kembali pada 16 Jan dan transit di Kota Kinabalu.

"Pada 26 Jan, oleh kerana pesakit mengalami demam, pesakit rasa takut kerana baru balik dari Wuhan dan terus mendapatkan rawatan di hospital swasta," kata Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan empat kes positif jangkitan koronavirus di Malaysia.

Tiada kes disyaki koronavirus di Terengganu, N Sembilan

Di Terengganu, Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus menjelaskan setakat 26 Jan, tiada kes disyaki jangkitan koronavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan satu hantaran Facebook yang mendakwa lima individu yang baru kembali dari Wuhan telah dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Sementara itu, Bernama melaporkan kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang turut membuat penafian sama, susulan dakwaan tular di WhatsApp.

"Setakat ini tiada kes (sedemikian direkodkan)," kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Mohd Faid Rashid menerusi Whatsapp kepada Bernama.

Setakat ini, ada lima kes positif koronavirus yang telah disahkan di Malaysia, kesemuanya melibatkan warga China di Johor.

Semalam, Noor Hisham mengesahkan empat individu lagi - dua warga tempatan dan dua warga China - dimasukkan ke wad isolasi dengan keputusan makmal berkenaan mereka akan diketahui dalam masa terdekat.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd.

Lihat Komen